Redzuan Muharam


Cyberjaya: Biarpun terbang tinggi di awan biru, juruterbang Kapten Mohammad Ghazi Mohamed Azri tidak pernah lupa asal usulnya, yang datang dari kampung.

Buktinya, bapa dua anak itu tidak malu mahupun kekok bertutur loghat Pahang dalam pesawat seperti yang dimuat naik di TikTok.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian netizen, yang rata-ratanya terhibur mendengar loghat Mohammad Ghazi, 34, yang bersahaja.

Berkongsi kisahnya, Mohammad Ghazi yang berasal dari Kuantan, Pahang tidak malu mengakui dirinya orang kampung dan anak 'makcik kantin'.

"Saya budak kampung yang dulunya mandi sungai, main basikal dan main bola pada waktu petang.

TANGKAP layar daripada video Mohammad Ghazi yang dikongsi di TikTok.
TANGKAP layar daripada video Mohammad Ghazi yang dikongsi di TikTok.

"Kebetulan, padang bola itu berdekatan dengan lapangan terbang, jadi ruang udara di situ menjadi laluan pesawat.

"Setiap kali pesawat lalu, saya akan tengok dan tanam impian serta berangan, satu hari nanti mahu jadi juruterbang. Tak sangka, impian saya kini tercapai," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, perjalanan awalnya untuk bergelar juruterbang bermula pada 2008 selepas ditawarkan mengikuti latihan sebagai kadet juruterbang.

Mohammad Ghazi bersyukur keluarga terutama ibu bapanya merestui kerjaya pilihan itu.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dapat keputusan, saya sepatutnya ke Jepun bagi menyambung pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Bagaimanapun, saya pilih untuk mengikuti latihan kadet juruterbang di bawah kendalian Malaysia Airlines (MAS) pada 2008 hingga 2010, dan diadakan di Kota Bharu, Kelantan.

MOHAMMAD Ghazi bersama ibunya, Jamaliah Harun.
MOHAMMAD Ghazi bersama ibunya, Jamaliah Harun.

"Kemudian, saya ikuti pula latihan sebagai pembantu juruterbang bersama MAS, sebelum berpindah ke Batik Air (dulu Malindo Air) pada 2015," katanya yang memberitahu dia kini berpangkat kapten sejak empat tahun lalu.

Sepanjang lebih 10 tahun bertugas, banyak pengalaman ditimba dan setiap satunya meninggalkan memori dalam hidup Mohammad Ghazi.

"Takut juga ketika mula-mula mengemudi pesawat dulu, namun lama kelamaan saya dapat sesuaikan diri.

"Setakat ini, tiada pengalaman yang sangat mencemaskan.. berdepan cuaca buruk itu perkara biasa dan apa pun berlaku, tugas saya adalah memastikan penumpang selamat sampai ke destinasi.

"Saya bersyukur kerana dapat melihat banyak kebesaran dan keajaiban Allah SWT ketika di awan biru, malah apa yang disaksikan itu membuatkan saya semakin mensyukuri nikmati Allah SWT serta sedar diri ini kerdil walau tinggi mana pun berada," katanya.

Mengenai perkongsian di media sosial itu, Mohammad Ghazi berkata, beliau sekadar berkongsi pengalaman dan mahu memberi galakan kepada mereka yang mengimpikan kerjaya sebagai juruterbang.

"Mungkin ada budak kampung di luar sana yang punya impian dan mahu jadi seperti saya.

"Jadi, perkongsian video di TikTok itu bertujuan untuk beritahu mereka, anak kampung juga mampu berjaya dan tiada apa yang mustahil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 9:03 PM