BERSIKAP adil dengan ibu serta ayah mentua. GAMBAR hiasan
BERSIKAP adil dengan ibu serta ayah mentua. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin


SEBAIK saja berkahwin, kehidupan seseorang itu akan berubah. Mana tidaknya daripada hidup seorang kini berdua, daripada mempunyai sebuah keluarga kini sudah mempunyai dua keluarga.

Senario kehidupan masyarakat kini memperlihatkan ramai pasa­ngan yang baru atau sudah lama mendirikan rumah tangga berusaha sedaya upaya untuk memenangi hati ibu mentua masing-masing sehingga tanpa sedar ada yang langsung tidak pernah berkomunikasi dengan ayah mentua.

Rata-ratanya berharap ibu mentua dapat menerima kehadiran diri namun pada masa yang sama seolah-olah tidak mempedulikan kehadiran ayah mentua.

Hakikat yang ramai tidak sedar, ada antara bapa mentua berasa kecil hati kerana seperti diping­girkan namun memilih untuk berdiam diri dan memendam rasa.

Berkongsi mengenai isu hubungan dengan ayah mentua ini, kaunselor keluarga, Azizah Rahim berkata, paling utama jangan sesekali membandingkan antara ibu mentua dengan bapa mentua kerana ia bakal mewujudkan masalah besar pada kemudian hari.

“Situasi ini terjadi kerana ramai beranggapan ibu mentua memainkan peranan besar dalam kebahagiaan sesebuah keluarga namun hakikatnya ia bukanlah seperti disangka. Mengikut pemerhatian saya, ramai bersetuju mereka lebih berusaha untuk memastikan diri diterima ibu mentua berbanding bapa mentua.

“Walaupun ada betulnya namun langkah terbaik, rebutlah hati kedua-duanya kerana ibu dan ayah mentua mempunyai peranan masing-masing dan mereka bersama-sama membesarkan pasangan kita sejak kecil,” katanya.

Menurutnya, lebih menyedihkan ada antara menantu yang mengakui tidak pernah bercakap atau sekadar bertegur sapa dengan ayah mentua tanpa pernah berbual mesra walaupun sudah lebih lima tahun berkahwin.

“Situasi ini sangat tidak sihat, jangan sesekali bersikap berat sebelah dengan hanya melebihkan si ibu dan akhirnya akan menyebabkan bapa mentua terasa hati.

“Jika belikan hadiah, berlakulah adil dan berikan kepada kedua-duanya bukan hanya kepada ibu mentua. Paling utama anggaplah ayah mentua anda itu sama seperti ayah kandung dan sayangilah dirinya sepenuh hati,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun situasi itu pada hakikatnya kerap terjadi namun jarang sekali menjadi punca masalah dalam sebuah keluarga.

“Ini kerana lebih 60 peratus ayah mentua memilih untuk memendamkan apa saja yang dirasainya bagi menjaga hati si anak dan menantu.

“Sekiranya perkara ini terjadi kepada diri sendiri atau individu sekeliling, segeralah berubah dan cuba cari jalan penyelesaian sebelum terlambat. Tidak salah untuk kita mulakan dulu terutama jika ayah mentua jenis pendiam. Mereka juga mahu disayangi dan dihargai menantunya,” katanya.

Azizah berkata, sekiranya situasi itu sudah terjadi dalam tempoh agak lama, cubalah secara perlahan-lahan untuk mengubahnya.

“Mulakan dengan bertanya khabar apabila pulang ke kampung diikuti dengan bertanya keadaan semasa di kawasan sekitar rumah. Bahkan tidak salah untuk belikan sedikit hadiah sebagai tanda ingatan.

SAYANGI ayah mentua anda.
SAYANGI ayah mentua anda.

“Buang ego dan rasa malu, ada yang mengakui berasa janggal untuk berbual mesra dengan ayah mentua, walhal itu satu keadaan yang perlu dilakukan demi mendapatkan kebahagiaan sebenar sebuah keluarga,” ujarnya.

Menurutnya, situasi itu walaupun bukan mudah namun ia perlu ditangani sebaik mungkin supaya hubungan boleh menjadi lebih baik.

“Ayah mentua juga adalah ayah kita. Cuba kenal sikap mentua, kenali apa yang dia suka dan tidak suka. Cubalah konsep ‘beli jiwa’ yang bermaksud tidak perlu belikan hadiah atau barangan mewah namun ia lebih kepada curahan kasih sayang.

“Jika penerimaan ayah mentua pada awalnya agak keras dan kurang mesra, sebaik-baiknya banyakkan bersabar dan jangan melawan apa yang dia katakan. Walaupun sukar, cubalah untuk terus bersabar,” ujarnya.

Tambahnya, langkah terbaik adalah kerap bertanya kepada pasa­ngan tentang sikap ayah mereka.

“Tidak salah untuk menantu berusaha dalam hal ini, yang penting reda dengan ketentuan dan berusahalah tanpa jemu untuk memenangi hati si ayah mentua dan jangan mengetepikannya,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah turut berkongsi antara langkah yang boleh diambil bagi ‘membeli jiwa’ ayah mentua.

1. ELAK TANGGAPAN BURUK

Walaupun ayah mentua anda sering kelihatan garang dan lebih selesa mendiamkan diri, cubalah untuk mencari kebaikan dirinya. Jika anda mahu membuat sebarang keputusan, ada baiknya anda minta pandangan ayah mentua walaupun dalam perkara kecil. Ini akan membuka ruang untuk masuk ke hatinya dan membuatkan dia berasa dihargai.

2. BELAJAR KENALI SIKAP AYAH MENTUA

Banyakkan bertanya kepada pasangan anda atau adik-beradiknya mengenai sikap sebenar bapa mentua. Apa yang disukai dan apa yang dibenci, cubalah terima setiap kekurangan dan kelebihan itu.

3. SAMAKAN DENGAN AYAH ANDA SENDIRI

Paling utama, letakkan perasaan hormat di depan, terimalah setiap teguran, bebelan dan kata-katanya walaupun ia sukar. Jika anda mampu menerima apa yang diungkapkan ayah kandung anda, belajarlah untuk tidak membezakan antara ayah sendiri dengan ayah mentua.

4. BERTOLAK ANSUR DAN MESRA

Berusahalah me­ngambil hatinya walaupun sukar. Cari masa untuk pulang ke rumahnya dan bawa bersama cucunya supaya kemesraan mudah terjalin.

5. JADI KAWAN BAIK DAN KURANGKAN MELAWAN

Apabila berdepan dengan mentua yang selalu merasakan dirinya betul, anda perlulah berperanan sebagai kawan. Jangan terlalu ambil serius setiap apa yang dikatakannya dan janganlah melawan. Ketahuilah kadangkala ada bapa mentua yang sengaja berkelakuan sedemikian untuk menguji menantu.

6. ELAK MENCETUSKAN KONFLIK

Berkomunikasi dengan bahasa lembut, jika anda mahu menjawab kata-katanya, gunakan perkataan yang baik. Berterus terang kepadanya dan nyatakan perasaan anda.

7. JANGAN SESEKALI MENGABAIKANNYA

Ingat, ayah mentua anda sama penting dengan ibu mentua. Jangan sesekali abaikan kehadiran mereka dalam keluarga, tanya khabar, layani dirinya sebaik mungkin dan sayangilah dirinya sepenuh jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 4:30 AM