GEMBIRAKAN ibu bapa dan mentua ikut kemampuan diri.
GEMBIRAKAN ibu bapa dan mentua ikut kemampuan diri.
Intan Mas Ayu Shahimi

Perceraian berpunca hubungan dingin antara mentua dengan menantu bukan isu baru. Ada waktunya kes sebegini hangat diperkatakan netizen hingga menarik perkongsian ramai. Namun, ada juga pasangan yang selesa berdiam diri kerana sedar rumah tangga yang dibina sudahpun hanyut dilambung badai.

Berikutan adanya tokok tambah pelbagai pihak, perkahwinan kini dilihat sebagai satu pilihan yang sukar. Ramai pasangan muda mula menghakimi hubungan menantu-mentua dari persepsi sendiri.

Kata Peguam Syarie dan Perunding Keluarga Islam, Datuk Mohd Zaidi Md Zain, perkahwinan adalah penyatuan dua insan yang jika dilihat dari segi syarak, bermula dari lima rukun. Salah satunya adalah wali.

“Peranan wali ini tidak boleh diketepi, sekali gus membawa maksud bahawa pernikahan antara lelaki dan perempuan itu memerlukan persetujuan keluarga.

“Jadi, kalau dilihat kembali perjalanan pasangan yang ingin berkahwin, Islam menggalakkan adanya pertunangan walaupun tidak wajib. Ini disebut dalam satu hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda, tidak boleh seseorang meminang atas pinangan saudaranya sehingga peminang sebelumnya meninggalkan atau memberi izin kepadanya.

“Dari segi adat pula, masyarakat kita meletakkan soal jodoh ini sebagai urusan keluarga. Sebab itu adanya adat merisik. Apabila lelaki sudah berkenan dengan gadis, dia akan hantar rombongan untuk bertanya khabar, melihat latar belakang keluarga dan berbincang.

“Ada juga yang bukan setakat bertanya kepada keluarga pihak perempuan, tetapi turut merisik dari orang sekeliling. Mereka mahu melihat keluarga dipilih dalam kalangan orang baik atau sebaliknya. Semua ini dilakukan untuk keluarga mengenal calon menantu yang bakal berkahwin dengan anak mereka,” katanya.

Selepas tamatnya proses merisik, bertunang dan bernikah, fasa pengenalan akan berterusan hingga berlangsungnya kenduri. Semua bahagian ini cukup membuktikan bahawa adat dan syarak tidak pernah mengetepikan peranan keluarga.

Namun, perlu diketahui pembabitan keluarga dalam hubungan perkahwinan anak tetap ada hadnya. Dalam urusan pernikahan dan kenduri umpamanya, orang yang wajar terbabit secara langsung adalah ibu bapa dan saudara terdekat saja.

Di peringkat meneruskan alam rumah tangga, suami dan isteri berhak membuat keputusan berdasarkan kehidupan yang mereka lalui. Sementara ibu bapa dan mentua hanya berperanan sebagai penasihat untuk membantu anak-anak pada waktu memerlukan.

Menantu-mentua

Mengulas berhubung adab di antara menantu dengan mentua, Datuk Mohd Zaidi berkata, ia sepatutnya sama dengan adab di antara anak dengan ibu bapa mereka sendiri.

“Realiti yang perlu diterima pasangan berkahwin, apabila mereka bernikah, mentua akan menjadi mak ayah sendiri. Di antara mereka (menantu dan mentua) juga tidak batal wuduk jika bersentuhan. Malah, batasan aurat juga sama dengan anak sendiri. Lebih istimewa, ikatan ini kekal sampai bila-bila dan perlu dipelihara.

“Jadi, kalau wujud layanan dingin ibu bapa kita terhadap suami atau isteri (menantu), cuba tanyakan kepada mereka sebabnya. Tanya mengapa mereka bertindak demikian atau kenapa tidak suka.

“Dalam hal ini, suami atau isteri juga perlu terbuka menerima teguran mentua. Usahakan untuk memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa. Selaku orang yang lebih tua, lebih dulu makan garam dari anak-anak, tentulah mereka ada penilaian sendiri. Mereka ada cara tersendiri untuk melakukan itu dan ini.

“Tidak mungkin kita boleh memaksa mereka menerima tingkah laku menantu. Jadi, buatlah yang terbaik untuk mengambil hati mereka,” katanya.

Jelas Datuk Mohd Zaidi, ada waktunya mentua tidak mengharap pemberian wang ringgit mahupun sebarang material berharga. Mereka lebih senang disapa menantu dengan budi bahasa.

“Ingatan anak menantu buat orang tua juga penting. Kalau tiba musim cuti sekolah, kita balik kampung bertemu mereka pun sudah memadai. Seandainya ada kemampuan, hulurkan wang belanja sebagai sagu hati untuk mereka. Gembirakan hati mereka mengikut kemampuan diri.

“Paling utama, jangan sesekali kecilkan hati mentua. Kalau tidak mampu memenuhi permintaan mereka, tolaklah secara baik. Dalam al-Quran menganjurkan kita supaya sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa, termasuk mentua.

“Berbuatlah ihsan kepada mereka dengan hati ikhlas. Jaga lidah dan jangan melukai hati mereka walau dengan ‘ah’ sekalipun. Usah meninggi suara, jerkah atau mengherdik mereka. Jika marah sekalipun, jangan kita anggap mereka sama seperti kawan.

“Kemudian, jaga tindakan dan jangan sesekali melampaui batas. Sentiasa ingatkan diri bahawa mentua juga sama seperti ibu dan bapa sendiri. Utamakan pendapat dan pandangan mereka dalam membuat keputusan.

“Akhir sekali bersabit dengan pendirian kita dalam sesetengah hal. Sebaiknya jangan mendahului ibu bapa dan mentua. Biarpun kita ada pendirian sendiri, namun cubalah mengalah dan dahulukan mereka,” katanya.

Mentua jangan ganggu

Menyentuh beberapa isu yang kerap menimbulkan perdebatan antara menantu dan mentua, Datuk Mohd Zaidi berkata, kedua-dua pihak perlu sedar peranan, tanggungjawab dan bahagian masing-masing dalam membina keluarga bahagia.

“Jika menantu harus melayan mentua sama seperti ibu bapa mereka sendiri, mentua pula haruslah bersikap rasional dalam pelbagai sudut. Usah sesekali masuk campur atau mengganggu urusan rumah tangga anak-anak.

“Jika perlu, mereka boleh membantu untuk memperbaiki kelemahan anak menantu. Membantu bermaksud menambah kebaikan dalam hubungan perkahwinan anak. Mengganggu pula perbuatan merosakkan.

“Kita harap, sebagai orang yang matang, mentua dapat berfikir sendiri. Biar mereka nilai sendiri adakah campur tangan itu untuk membantu atau mengganggu. Ini kerana, tanggungjawab menjaga keharmonian rumah tangga tetap terpulang kepada pasangan itu sendiri.

“Gaya hidup manusia ini berbeza. Kadang kita geram melihat cara hidup orang lain, tetapi kita tidak berhak mengatakan yang mana salah dan betul kerana mereka hidup dengan cara sendiri,” katanya.

Apapun kata Datuk Mohd Zaidi, setiap pasangan yang mahu berkahwin atau sudah berkahwin perlu ada ilmu dan pemahaman mengenai hidup berkeluarga.

“Teori ini sama saja dengan orang yang hendak berjaya dalam hidup, mereka perlu ada ilmu pengetahuan. Kalau hendak bahagia, carilah ilmu berkaitan hukum, adat dan sebagainya.

“Apabila ada ilmu, barulah masing-masing dapat melaksanakan tugas dengan betul. Kita bimbang pada yang tak ada ilmu. Mereka ini mudah terpengaruh dengan hasutan, pendapat pihak ketiga, pandangan masyarakat dan contoh negatif di sekeliling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 9:36 PM