Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara besar dunia bagi penggunaan sistem MySejahtera susulan pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sistem MySejahtera di negara ini yang dibangunkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilihat bersesuaian dengan EU dan negara lain.

"Sistem yang kita bangunkan bersesuaian dengan EU dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Jadi, kita sedang berunding dengan semua negara yang besar, destinasi pelancongan, pelaburan supaya diiktiraf MySejahtera.

"Sebagai contohnya saya pergi United Kingdom (UK) beberapa hari yang lepas pun tiada masalah, mereka terima (sistem MySejahtera)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan pengiktirafan diberi EU berkenaan, Khairy berkata, ia satu pengiktirafan tinggi kepada sistem MySejahtera.

"Pengiktirafan oleh Kesatuan Eropah (EU) ini satu pengiktirafan yang tinggi kerana mereka melihat kepada sistem disebalik sijil vaksinasi kita.

"Mereka betul-betul puas hati sistem (MySejahtera) kita dari segi keselamatan, kesahihan dan kemudahan adalah setaraf yang diperlukan oleh EU.

Lawatan Kerja oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Hospital Raja Permaisuri Bainun  (HRPB) Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Lawatan Kerja oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. FOTO L.MANIMARAN

"Jadi, ini sebenarnya adalah pengiktirafan kepada Vaccine Management System (VMS) dan juga sistem MySejahtera yang memaparkan sijil vaksinasi kita.

"Ini banyak membantu pengembara daripada Malaysia untuk pergi EU nanti, jadi tiada masalah iaitu tunjuk MySejahtera dan boleh integrasi dengan sistem mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kesatuan Eropah (EU) membuat keputusan mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 di MySejahtera.

Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas mengesahkan perkara berkenaan menerusi akaun media sosialnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, beliau akan dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk memberi keterangan berhubung aplikasi MySejahtera pada 14 April ini.

"Bagi saya tiada masalah bentang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara sebab kita tiada apa yang hendak disembunyi pun, kita bentang saja.

"Saya pergi untuk membentangkan kerana saya mahu beri keyakinan pada orang ramai bahawa tiada apa-apa nak disembunyi, bagi saya aplikasi ini penting, kita guna untuk Covid-19 dan kita guna untuk vaksinasi dan kita 'monitoring people at home'.

"Jadi, mungkin ada yang mengalami kebimbangan (penggunaan MySejahtera) namun apa yang saya terangkan dalam Dewan Negara dan akan bentangkan dalam PAC nanti adalah keadaan yang sebenar bahawa data itu adalah data yang dimiliki oleh KKM dan data itu selamat berpangkalan di Malaysia,"katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Kesihatan akan membawa usul berkaitan isu aplikasi MySejahtera di Dewan Negara pada 31 Mac lalu.

Khairy dilaporkan berkata, ia berikutan timbul pelbagai pertikaian termasuk syarikat yang dilantik mengendalikan aplikasi itu.

Terdahulu, Khairy turut membuat lawatan kerja di Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Hospital Batu Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:25 PM