SUAPAN rasuah menggunakan mata wang kripto jadi pilihan penjenayah kerana lebih sukar dijejaki pihak berkuasa.
SUAPAN rasuah menggunakan mata wang kripto jadi pilihan penjenayah kerana lebih sukar dijejaki pihak berkuasa.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Suapan rasuah kini tidak lagi menggunakan pemindahan wang antara bank atau tunai sebaliknya menggunakan transaksi mata wang kripto.

Transaksi mata wang kripto berkenaan tidak mempunyai jejak wang atau money trail memandangkan konsep kaedah berkenaan adalah kerahsiaan.

Pemilihan taktik baru itu antara lain untuk menyukarkan pihak berkuasa melakukan pengesanan sekali gus pembuktian tentang suapan rasuah itu sukar untuk dibuktikan.

Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berhubung kaedah baharu rasuah berkenaan.

Azam berkata, untuk tempoh lima tahun yang akan datang akan memperlihatkan perubahan daripada segi teknologi yang juga bakal menyaksikan kes semakin canggih.

"Sekarang ini pun pembayaran rasuah juga berlaku dalam bentuk mata wang kripto.

"Saya akui, sukar dikesan. SPRM dan Bank Negara Malaysia (BNM) masih mencari jalan penyelesaian cara untuk mengesan pembayaran wang dalam bentuk alam maya.

"Selaras dengan perubahan itu, aktiviti pencegahan pun tidak boleh ditakuk lama, kita perlu melihat kepada bagaimana sistem tadbir urus yang ada sekarang agar relevan dengan perubahan masa dan teknologi," katanya.

Menjelaskan berhubung mata wang kripto, Presiden Persatuan Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, mata wang kripto ini menampilkan sistem atau kaedah kerahsiaan.

"Disebabkan mata wang ini sangat sukar dijejaki, mata wang jenis ini menjadi pilihan bagi kegiatan jenayah, penjualan atau pembelian barang terlarang seperti senjata api dan dadah.

"Lebih membimbangkan apabila penyaluran wang dana kepada organisasi pengganas turut menggunakan medium sama dan ia memberi isyarat jelas bahawa platform mata wang maya ini memberi implikasi negatif yang sangat besar berbanding sudut positif," katanya.

Menurutnya, mata wang jenis ini yang berasaskan digital sangat terdedah kepada serangan siber dan senario itu sudah berlaku beberapa tahun lalu apabila platform NiceHash kehilangan 4,700 bitcoin bernilai RM260 juta selepas ia digodam individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.

"Aset yang hilang tidak boleh diperoleh kembali kerana ia tidak dilindungi mana-mana insurans seperti sistem kewangan konvensional milik institusi perbankan yang lain.

"Platform ini juga jika diterima kerajaan akan meningkatkan kadar rasuah. Bagaimana pihak berkuasa mahu menyiasat transaksi rasuah jika ia dilakukan dalam bentuk mata wang kripto. Siasatan untuk menemui bukti transaksi forensik boleh dikatakan sebagai mustahil," katanya.


Mata wang kripto 'kebal' undang-undang sedia ada

Kuala Lumpur: Peruntukan perundangan sedia ada tidak merujuk kepada penggunaan kripto dalam rasuah oleh kerana mata wang kripto adalah teknologi baru.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat berkata, ia boleh dikatakan, peruntukan sedia ada itu boleh mencegah rasuah, tetapi mungkin agak sulit bagi kes membabitkan mata wang kripto.

Menurutnya, ini kerana ia sukar dikesan kerana bukti transaksi tidak diselia kawal oleh suatu badan pusat.

"Transaksi kripto buat masa sekarang tidak diperbadankan secara seragam di Malaysia, oleh itu adalah wajar untuk suatu badan jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji kesesuaian.

"Selain itu, wujud keperluan perundangan semasa untuk turut merangkumi transaksi kripto dalam undang melibatkan dagang dan perniagaan.

"Perlu kita ingat bahawa undang-undang bukan suatu perkara yang statik," katanya.

Beliau berkata, ia sering berubah-ubah mengikut peredaran masa dengan adanya mata wang kripto, sudah tentu ada jurang yang boleh dimanipulasi.

"Oleh itu, masih ada lagi ruang untuk perundangan diperkemaskan dan bersesuaian dengan peredaran zaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 12:00 PM