SEBAHAGIAN pemain Melaka United. FOTO FB MELAKA UNITED
SEBAHAGIAN pemain Melaka United. FOTO FB MELAKA UNITED
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tumpang makan nasi kenduri, mi segera dan nasi bujang antara makanan rutin dihadapi pemain Melaka United FC susulan ketiadaan duit selepas tidak dibayar gaji oleh pengurusan pasukan.

Perkara itu didedahkan pemain skuad Hang Tuah yang enggan namanya disiarkan bagi menjaga hubungan dengan pasukan itu.

Namun, situasi menyedihkan itu terpaksa dikongsikan bagi menceritakan keadaan dihadapi pemain pasukan itu.

"Ada pemain yang kadang-kadang bertanya kawan atau saudara mara terdekat kalau kalau ada majlis makan atau kenduri kahwin sebab nak makan tak cukup duit.

"Walaupun nampak macam bergurau bila bertanya pasal makan kenduri, sebenarnya ia keadaan terdesak pemain yang nak cari makan yang sedap sikit selain makanan ala kadar.

"Kalau tak, makanan macam mi segera atau nasi bujang itu menu biasa buat pemain.

"Itu belum lagi cerita bank cari keā€¦pasal komitmen kereta, rumah dan pinjaman yang dibuat. Pendek kata, pemain memang tertekan bila gaji tak dapat dapat," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, penyertaan Melaka United FC dalam saingan Piala Malaysia musim ini dibatalkan ekoran kegagalan pasukan itu menyelesaikan tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan.

Malah, sebenarnya, kemelut itu bukan baru buat Melaka United yang saban musim berdepan masalah sama.

Jelas sumber lagi, pemain cukup tertekan hingga mengganggu emosi dan fokus mereka.

"Tengah main bola pun sebenarnya pemain tak boleh fokus. Pasukan nak menang, tapi mereka tak bayar gaji pemain.

"Bila dah habis perlawanan, fikiran pemain akan serabut balik sebab fikirkan nak makan apa dan nak cari duit kat mana," katanya.

Ujarnya, perkara ini dapat ditangani sebaiknya agar hak pemain sentiasa dibela dan dihargai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 8:15 PM