PEMERHATI bola sepak tempatan, Datuk Richard Scully. FOTO ARKIB NSTP
PEMERHATI bola sepak tempatan, Datuk Richard Scully. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pihak berwajib perlu mencari jalan untuk menoktahkan isu tunggakan gaji agar pemain tidak menjadi mangsa kepada kelab tidak bertanggungjawab di kala bola sepak Malaysia sudah melangkah ke era profesional.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully berkata, pemain sudah menjalankan tugas mereka di atas padang dengan memberikan sepenuh jiwa, namun apabila isu seperti itu sering terjadi, sudah pasti ia mengganggu fokus mereka di dalam mahupun di luar padang.

Malah, katanya, pemain yang bermain untuk kelab itu adalah manusia yang ada perasaan dan bukannya robot.

Tambahnya, pemain seperti orang lain memerlukan kewangan untuk membayar komitmen bulanan mereka dan pihak pengurusan perlu mencari dana untuk memastikan setiap pekerja mereka menerima gaji yang cukup setiap bulan.

"Kalau nak cerita, dia macam itulah bunyi dia. Pemain sudah laksanakan tugas mereka di padang. Pengurusan jangan ganggu pemain.

"Mereka sudah melaksanakan tugas. Pihak pengurusan carilah dana yang sepatutnya untuk menguruskan pemain dari segi gaji pula.

"Isu tunggakan gaji ini bukan perkara baru, ia cerita lama cuma hari sahaja yang berbeza. Saya rasa benda ni kena ada titik nokhtah kerana kalau tidak, ia akan terus berlarutan. Definisi profesional itu tidak ada makna kalau kata profesional tapi isu tunggakan berlarutan.

"Pemain cari mata pencarian bulanan dan kalau tak dapat gaji macam mana. Pemain pun ada komitmen, ada yang berkeluarga, ada yang nak bayar rumah dan sebagainya. Majikan kena fikir sama lah. Tak boleh bagi alasan tak ada duit.

"Kalau tak ada duit, kenapa wujudkan kelab. Jadi mereka mesti bertindak sebagai profesional. Mereka sedang berurusan dengan manusia, bukan dengan mesin. Manusia sudah bagi hikmat. Kena cari satu mekanisme supaya elak pun benda inilah (isu tunggakan gaji)," katanya.

Beliau berkata, setiap kelab mahupun organisasi bertanggungjawab perlu peka serta sedar status kewangan dimiliki mereka dan jangan sesekali bertindak mengikut 'nafsu' dengan menawarkan gaji tinggi sedangkan tidak ada kemampuan untuk melaksanakannya.

Katanya, sekiranya isu tunggakan gaji itu terus berlarutan, ia memberi ruang kepada budaya tidak sihat untuk mempengaruhi pemain termasuk kelab berisiko kehilangan pemain terbaik mereka.

"Kalau tak mampu, janganlah bayar tinggi-tinggi. Sekurang-kurangnya perlu ada duit setiap bulan untuk pemain dapat gaji. Semua ini ikut nafsu. Tapi tak boleh bayar macam mana. Kasihan pada pemain.

"Kita tak mahu buka ruang sampai macam itulah (bookie ambil kesempatan). Kita ambil iktibar apa yang pernah terjadi sebelum ini. Benda kecil ini ada orang akan mengambil kesempatan dalam kesempatan," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara pasukan Perak FC, Bobie Farid Shamsudin tidak menafikan pasukan mereka mengalami isu tunggakan gaji seperti khabar angin yang beredar di laman media sosial, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 6:06 PM