Bangkai pesawat jenis Eurocopter yang terhempas dihutan berhampiran Chikus selepas hilang dari radar sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. FOTO IHSAN BOMBA
Bangkai pesawat jenis Eurocopter yang terhempas dihutan berhampiran Chikus selepas hilang dari radar sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. FOTO IHSAN BOMBA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Bangkai helikopter Eurocopter yang terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor pada 11 September lalu masih belum dibawa dikeluarkan dari lokasi nahas.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ia akan mengambil masa untuk membawa bangkai helikopter berkenaan keluar daripada lokasi kejadian.

"Helikopter masih di tempat nahas dan akan mengambil masa untuk dikeluarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, setakat ini tiada pasukan lain yang masuk ke lokasi untuk menjalankan siasatan selain Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Biro Siasatan Kemalangan Udara dan syarikat pengendali helikopter terbabit,

"Tiada pihak lain lagi menjalankan siasatan di lokasi kejadian," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Forensik PDRM masuk ke lokasi nahas helikopter terhempas bagi menjalankan siasatan.

Wan Azharuddin dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan kepada agensi terbabit untuk menjalankan siasatan namun tidak tahu berapa lama tempoh siasatan atau bangkai helikopter itu boleh dibawa keluar.

Juruterbang helikopter warganegara Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan, 58, maut dalam kejadian itu.

Nahas berlaku selepas helikopter itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan terhempas di Bidor.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari, tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.

Helikopter bernombor pendaftaran N409 HH jenis EG 120 berwarna hitam, Eurocopter adalah dari syarikat Heli Outpost Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 4:26 PM