GAMBAR kenangan arwah SULAIMAN bersama isterinya ketika majlis pertunangan Norhafizatul Akmar, Aidiladha lalu. FOTO Ihsan Norhafizatul Akmar
GAMBAR kenangan arwah SULAIMAN bersama isterinya ketika majlis pertunangan Norhafizatul Akmar, Aidiladha lalu. FOTO Ihsan Norhafizatul Akmar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Kegembiraan majlis akad nikah yang hanya akan berlangsung beberapa minit sahaja bertukar pilu selepas bapa pengantin yang sepatutnya menjadi wali kepada anak perempuannya meninggal dunia.

Sulaiman Salleh, 73, menghembuskan nafas terakhir 11 pagi semalam di kediamannya di Kampung Banggol Stol, di sini, selepas mengadu sesak nafas.

Pengantin perempuan, Norhafizatul Akmar, 34, berkata, apa yang berlaku bagaikan mimpi apabila bapanya meninggal dunia sebelum majlis akad nikah berlangsung beberapa minit sahaja lagi.

"Ketika itu saya sudah siap bersolek dan rombongan pengantin lelaki juga sudah berada di bawah khemah, hanya menanti untuk naik ke atas rumah bagi proses akad nikah.

"Imam juga sudah bersiap sedia di depan pelamin sebelum bapa mengadu sesak nafas. Melihat keadaan bapa, adik-beradik saya yang lain mengajar ayah mengucap dan sebaik saya keluar dari bilik, saya sempat melihat ayah menghembuskan nafas terakhir.

"Disebabkan apa yang berlaku, imam yang hadir perlu mendapat keizinan bagi menukar wali dan majlis akad nikah saya hanya berlangsung pada 3 petang selepas memperoleh keputusan ujian swab Covid-19 yang dilakukan terhadap jenazah ayah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

NORHAFIZATUL Akmar bersama suami Mohd Shafiq diwalikan abang kandung bagi meneruskan majlis akad nikah. FOTO Ihsan Norhafizatul Akmar
NORHAFIZATUL Akmar bersama suami Mohd Shafiq diwalikan abang kandung bagi meneruskan majlis akad nikah. FOTO Ihsan Norhafizatul Akmar

Norhafizatul Akmar yang juga pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Perak berkata, imam memaklumkan urusan akad nikah perlu diselesaikan juga pada hari kejadian, namun akad nikah berlangsung di masjid berdekatan rumah dengan dia diwalikan abang kandung.

"Selepas itu rombongan yang hadir hanya datang makan di rumah. Tiada majlis sanding, saya sekadar mengambil beberapa keping gambar di pelamin sebagai syarat sebelum menguruskan jenazah ayah.

"Alhamdulillah jenazah ayah selepas dikebumikan 10 malam tadi di Tanah Perkuburan Banggol Stol.

"Walaupun sedih dan terkejut dengan apa yang berlaku memandangkan ayah tidak mempunyai sebarang penyakit, namun saya bersyukur segala urusan arwah ayah berjalan lancar," katanya.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, dia perasan dengan perubahan sikap yang ditunjukkan ayahnya apabila bersemangat untuk membaik pulih rumah.

"Pada masa sama, ayah juga begitu bersemangat untuk menguruskan majlis perkahwinan saya sedangkan sebelum ini ayah bukan seorang yang aktif seperti itu.

"Rupanya itu petanda ayah mahu meninggalkan kami selama-lamanya. Tarikh 5 September akan terpahat di hati saya dan suami (Mohd Shafiq Ahmad, 31) buat selama-lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 1:45 PM