TUNKU Tun Aminah Maimunah Iskandariah bersama Dennis Muhammad selepas Istiadat Nikah. FOTO ihsan Royal Press Office
TUNKU Tun Aminah Maimunah Iskandariah bersama Dennis Muhammad selepas Istiadat Nikah. FOTO ihsan Royal Press Office
Izlaily Nurul Ain Hussein


ANAKANDA Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim sah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad Abdullah dengan sekali lafaz, hari ini.

Dennis Muhammad menyempurnakan lafaz nikah itu dalam bahasa Malaysia pada Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Puteri tunggal Sultan Johor dan suaminya itu dinikahkan oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin yang diperkenankan oleh Sultan Ibrahim Iskandar untuk menjadi wakil rasmi baginda di majlis itu.

Dalam kenyataan media Pejabat Media Diraja (RPO) Johor, keluarga pengantin wanita yang diwakili Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki yang diwakili Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.

Keluarga pengantin wanita dan lelaki bertukar hantaran itu yang dibawa masuk oleh anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN).

Antara hadiah yang disampaikan keluarga Diraja Johor buat pengantin lelaki adalah cincin emas,al-Quran, sejadah, persalinan Baju Melayu Teluk Belanga dan sampin, sirih junjung, kek, bunga rampai dan halwa maskat.

MOHD Tahrir (kanan) memulakan istiadat akad nikah Dennis Muhammad. FOTO ihsan Royal Press Office
MOHD Tahrir (kanan) memulakan istiadat akad nikah Dennis Muhammad. FOTO ihsan Royal Press Office

Terdahulu, berlangsungnya Istiadat Pertunangan dan majlis itu disaksikan Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, ahli keluarga dan rakan terdekat.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, ibu bapa pengantin lelaki, Martin dan Henriette Verbaas, ahli keluarga dan rakan terdekat dari Belanda.

DENNIS Muhammad mencium dahi Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah selepas Istiadat Nikah. FOTO ihsan Royal Press Office
DENNIS Muhammad mencium dahi Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah selepas Istiadat Nikah. FOTO ihsan Royal Press Office

Menurut RPO Johor, selesai Istiadat Akad Nikah, pengantin lelaki kemudian dibawa ke bilik tingkat atas istana bagi menyempurnakan Istiadat Menyarung Cincin.

Dennis Muhammad kemudian menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis tangan kanan Tunku Tun Aminah serta memberikannya mas kahwin sebanyak RM22.50.

Pasangan Diraja itu kelihatan anggun dan tampan mengenakan busana tradisional Johor, Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju Melayu Teluk Belanga serba putih.

Dennis Muhammad mengenakan songkok dengan dua keronsang yang sama digunakan oleh Almarhum Sultan Iskandar pada hari perkahwinannya, yang diberikan oleh bondanya, Sultanah Aminah Ungku Ahmad.

Mereka kemudian mencium tangan ibu bapa masing-masing dan juga ahli keluarga yang lain.

Istiadat perkahwinan itu berlangsung dengan menampilkan segala keunikan, kekayaan warisan serta tradisi dan adat istiadat Diraja Johor.

CINCIN pernikahan pada jari Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah pada Istiadat Akad Nikah. FOTO ihsan Royal Press Office
CINCIN pernikahan pada jari Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah pada Istiadat Akad Nikah. FOTO ihsan Royal Press Office

Malam ini, pasangan Diraja itu akan diraikan dalam Istiadat Persandingan di Bilik Singgahsana Istana Besar, Johor Bahru.

Kira-kira 1,200 tetamu akan menghadiri majlis ringkas penuh bermakna itu yang turut dipancarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi skrin digital gergasi di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 2:41 PM