Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini, bagi mengetahui nasibnya sama ada dibebaskan atau didapati bersalah terhadap tiga tuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah, 70, yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memakai baju kurung dan berselendang kuning, tiba jam 8.55 pagi, dengan menaiki kereta hitam.

Beliau kelihatan tenang ketika puluhan pengamal media merakam gambar dan videonya, sebelum masuk mahkamah, dengan diiringi beberapa anggota polis.

Turut kelihatan, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Azrul Zulkifli Stork.

Semalam, Rosmah berkata, beliau hilang kepercayaan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan untuk membuat keputusan dalam kes rasuah dihadapinya, hari ini.

Perkara itu dinyatakan Rosmah dalam permohonan notis usulnya supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada kes itu dan memohon supaya ia didengar atau dibicarakan semula oleh hakim lain.

Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah pada Prosiding keputusan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Jalan Duta. FOTO Aswadi Alias
Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah pada Prosiding keputusan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Jalan Duta. FOTO Aswadi Alias

Permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini itu difailkan Isnin lalu, secara dalam talian dengan alasan beliau hilang kepercayaan kepada hakim terbabit berikutan pendedahan sebuah portal berita bahawa bukan Mohamed Zaini yang menyiapkan keputusan penghakiman kes, sebaliknya oleh pihak lain bagi dirinya.

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi iaitu Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Rosmah diperintah membela diri pada 18 Februari tahun lalu, terhadap tiga tuduhan rasuah selepas Mohamed Zaini memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan meminta RM187.5 juta, dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khas beliau, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 9:25 AM