SARAH Suhairi tampilkan kelainan dalam setiap lagu baharu nyanyiannya, mahu cuba pelbagai genre. - FOTO Amirudin Sahib
SARAH Suhairi tampilkan kelainan dalam setiap lagu baharu nyanyiannya, mahu cuba pelbagai genre. - FOTO Amirudin Sahib
Georgie Joseph


Cukup dikenali menyanyi lagu balada dengan amat baik, penyanyi Sarah Suhairi mengambil keputusan untuk beralih angin sementara seterusnya melancarkan lagu rancak berjudul Burn sebagai pertaruhan terbaru.

Bagi Sarah, 22, dia sentiasa mahu tonjolkan pelbagai sisi berbezanya agar dapat mencabar diri selain membuktikan kepada peminat bahawa dia penghibur versatil. Sasarannya adalah untuk sentiasa puas dengan kepelbagaian karyanya.

Walaupun ada juga cabaran untuk realisasikan Burn hasil ciptaan komposer Apipapol, dia gembira akhirnya dapat tukar angin. Dia akui teruja apabila mendapat karya segar sebagaimana diimpikannya.

"Saya memang sudah lama berhasrat ada lagu rancak yang menuntut saya menari juga. Sejujurnya saya kagum dan sentiasa menjadikan penyanyi seperti De Fam dan Dolla sebagai rujukan.

"Bukan mudah untuk tampil menyanyi dan menari pada masa sama. Disebabkan itu, saya mencabar diri untuk realisasikan Burn selain memang nak teroka kemampuan diri dengan mencuba genre sebegitu.

"Tapi bukanlah saya lupakan balada terus kerana tahu kekuatan diri masih terjurus kepada lagu sebegitu. Apapun, saya harap peminat akan puas juga dengan sisi baharu saya ini sebagaimana saya puas secara peribadi," katanya.

Sarah yang juga juara Big Stage musim pertama melihat lagu sebegitu menjadi kelebihan apabila menjayakan persembahan pentas. Selain lagu balada, dia merasa perlu kena ada lagu rancak juga.

Menurutnya, dia sentiasa mementingkan kepuasan penonton apabila menyaksikan persembahan pentasnya. Justeru, dia berharap akan dapat menyerlahkan sisi serba boleh sebagai penghibur sepanjang masa.

SENTIASA pastikan kehadirannya dalam industri disedari. - FOTO Amirudin Sahib
SENTIASA pastikan kehadirannya dalam industri disedari. - FOTO Amirudin Sahib

"Saya ingin jadikan lagu Burn sebagai lagu yang membolehkan penonton boleh berseronok apabila membuat persembahan. Bagi mereka rasa ingin menari dan menyanyi bersama saya.

"Ini juga untuk kepuasan sendiri kerana seronok sebenarnya apabila tampil persembahan lagu berbeza genre di pentas. Saya harap pada persembahan akan datang, dapatlah tonjolkan sisi itu," katanya.

Lebih lima tahun berada dalam industri, Sarah juga bersyukur terus mendapat tempat dalam kalangan peminat. Baginya, itu sudah cukup memadai kerana paling penting adalah kelangsungan kariernya.

Menurutnya, dia lebih selesa berada di zon selamat berbanding naik mendadak dan tiba-tiba menjunam. Hal itu lebih ditakuti kerana dia memang berazam tinggi untuk kekal lama dalam radar hiburan tempatan.

"Tidak dinafikan, berada dalam industri bukan satu perkara mudah. Untuk kita nak bertahan itu, sangat susah. Kalau berada di puncak itu adalah rezeki masing-masing.

"Tapi bagi saya, penting lagi untuk cuba bertahan dan masih ada dalam radar industri berbanding menghilang terus. Itulah saya memang sangat aktif untuk terus berinteraksi dengan peminat," katanya.

Sarah mengakui strategi untuk sentiasa muncul dan menyapa peminat sangat penting. Dia juga risau jika kalau namanya cuma mendadak seketika dan terus dilupakan terus sebaik jatuh.

"Kalau naik mendadak itu adalah rezeki tapi saya tidak terdesak untuk sasarkan diri kejar nama besar. Justeru, saya gembira berada di zon sekarang asalkan kehadiran saya sentiasa disedari," katanya.

Impi nyanyi karya sendiri

Dalam pada itu, Sarah juga sebenarnya menyimpan hasrat untuk menyanyikan lagu sendiri pula suatu hari nanti. Menurutnya dia memang ada cuba-cuba menulis tapi masih belum dapat keyakinan nyanyikannya.

Namun, bersyukur sentiasa mendapat sokongan moral daripada orang lain pula. Dia terharu apabila rakan terdekat pula melihat kelebihan dirinya tatkala dia merasa kurang yakin dengan kemampuan sendiri.

"Ada masa di mana saya rasa saya tak boleh lakukan sesuatu. Saya memang ada cuba cipta lagu sendiri tapi pada satu tahap rasa saya tidak layak nyanyikan lagu itu. Saya nak bagi lagu itu kepada orang lain.

"Tapi akhirnya, ramai yang beri sokongan dan percaya lagu itu adalah untuk saya nyanyikan. Perkara sebegitulah yang menyedarkan bahawa saya tidak sepatutnya memandang rendah terhadap diri-sendiri," katanya.

Sarah tidak nafikan perlu juga sedar diri apabila tahu ada kekurangan. Namun begitu, penting juga mendengar kata orang lain yang sebenarnya yakin terhadap keistimewaan dimilikinya sebagai perangsang utama.

"Saya sangat berbesar hati memiliki orang sekeliling yang begitu positif dan beri sokongan padu. Insya Allah selepas ini, saya jadi komposer, penulis lirik lagu sendiri. Doa-doakan," katanya.

Dalam pada itu, Sarah akui cukup terharu apabila mendapat pengiktirafan dari YouTube dengan menerima plak Silver Play Button selepas saluran peribadinya mencecah lebih 100,000 pelanggan.

"Bertahun juga saya bekerja-keras untuk menghasilkan 'content' serta video nyanyian semula pelbagai lagu di saluran itu. Biasanya, kandungan lain saya lebih banyak tontonan apabila dimuat naik di saluran label iaitu MVM atau Rusa Music.

"Jadi apabila meraih pencapaian ini menerusi saluran peribadi, memang rasa berbaloi sangat usaha selama ini. Jauh perjalanan saya nak capai lebih 100,000 pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 6:00 AM