INDAH berazam terus menghasilkan karya-karya terkini. FOTO Hazreen Mohamad
INDAH berazam terus menghasilkan karya-karya terkini. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


LEBIH dua dekad menjadi penyanyi, Indah Ruhaila menyimpan impian besar untuk tampil dengan persembahan besar sama ada konsert atau showcase.

Hakikatnya, keinginan Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, 35, itu meluap-luap tatkala menghadiri konsert penyanyi seperjuangan lain. Lagipun dia sendiri sudah cukup lama dalam industri muzik.

Indah berkata, dia berharap impian itu akan terlaksana dalam masa terdekat ini kerana dia pun sudah ada rangkaian lagu yang cukup.

"Teringin itu memang tak payah cakaplah. Nak sangat-sangat dapat buat showcase memandangkan saya pun sudah lama menyanyi. Sejak berusia 17 tahun lagi saya sudah rakam album.

"Apabila hadir konsert rakan seperti Hael Husaini dan Aina Abdul, saya terfikir alangkah seronoknya kalau dapat berada di pentas. Kalau setakat showcase pun, sudah cukup memadai.

"Perancangan itu memang sudah ada, Insya-Allah pada hujung tahun ini. Bagaimanapun, butiran belum boleh dikongsi kerana masih dalam peringkat perbincangan, tapi pasti saya akan hebahkan," katanya.

Dengan kemaraan ramai penyanyi 'segera' terutama di TikTok sekarang, Indah tidak melihat trend itu mengacau penyanyi arus perdana. Baginya, platform itu sebenarnya sangat berguna.

Malah, dia sendiri berharap akan dapat memanfaatkan lagi platform terbabit dalam mempromosikan karya muziknya.

Menurutnya, dia perlu cekap gunakan kemudahan sebegitu demi menarik perhatian ramai.

"Tidak salah pun kalau penyanyi baharu mempromosi diri di TikTok. Walaupun cuma menyanyi di sana, sebenarnya cukup membantu mereka untuk membina nama malah ada yang tular serta-merta popular.

"Bagaimanapun, secara peribadi saya memang lebih suka menyanyi secara langsung depan peminat. Saya suka bila ada interaksi dan suasana yang meriah berada di pentas sebenar.

"Saya pun akan cuba sebaik mungkin promosi diri di TikTok. Walaupun masih dalam fasa berjinak-jinak, saya harap platform itu mampu mekarkan lagi karier saya kelak," katanya.

Dalam pada itu, Indah inginkan kerjaya muziknya juga sentiasa ke hadapan terutama corak karya dihasilkan. Baginya, dia ingin menjadi penyanyi yang sentiasa tampil dengan muzik segar.

Berbanding mengambil pendekatan menyanyikan semula lagu lama yang popular, dia fokus untuk hasilkan lagu terkini. Buat masa sekarang, dia tidak terfikir untuk memberi nafas baharu kepada mana-mana lagu lama.

"Saya sentiasa melihat diri saya jenis penyanyi yang ingin terus kejar corak muzik terkini. Sebagaimana juga kepesatan muzik di Amerika Syarikat malah dari negara jiran kita, Indonesia.

"Karya yang dihasilkan di sana cukup maju ke depan dan kalau boleh saya nakkan karya sebegitu. Oleh itu, saya lebih memilih untuk fokus saja mencari material yang boleh kejar tahap itu.

"Saya mahu jadi penyumbang kepada kemajuan corak kualiti terkini dalam industri muzik kita. Apapun, saya seronok melihat ramai penyanyi muda tampil dengan nafas baharu lagu popular lama," katanya.

Sepanjang kembara seninya, Indah antara penyanyi yang teguh berjuang dan bertahan kukuh dalam industri. Walaupun kariernya ada pasang surut, dia tetap kekal memperjuangkan kariernya.

Mengakui ada berdepan keperitan sepanjang karier, dia bagaimanapun lega kerana masih bertahan. Bukan populariti yang dikejar sekarang sebaliknya keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.

BERHARAP lagu baharu All My Heart mekarkan lagi kariernya. FOTO Hazreen Mohamad
BERHARAP lagu baharu All My Heart mekarkan lagi kariernya. FOTO Hazreen Mohamad

"Memang perit juga terutama setiap kali terfikir kenapa saya tak diterima baik, tak baguskah diri saya? Saya sudah berdepan turun naik sepanjang lama berada dalam industri muzik.

"Tapi bila fikir balik, kelangsungan karier saya masih bertahan dan itu sudah cukup memadai. Saya rasa mungkin perlu memperbaiki daripada segi momentum saja terutama pelancaran lagu.

"Apapun, saya suka begini di mana populariti bukan di tahap sangat gila. Saya pun jenis tidak kisah kalau tidak dikejar peminat di luar setiap kali berada di khalayak," katanya.

Terharu dipilih Ajai

Indah yang melancarkan lagu baharu berjudul All My Heart cukup bersyukur komposer tersohor Ajai menaruh kepercayaan buatnya menggalas tugas nyanyikan lagu itu yang liriknya ditulis STR4WBERICHA.

Baginya, peluang itu cukup keemasan apatah lagi Ajai bukan sembarangan memberi lagu kepada mana-mana penyanyi. Bertuahnya Indah, karya itu juga cukup kuat.

"Impian ini memang sudah lama saya angan-angankan. Saya terlalu bersyukur apabila karya yang diberi Ajai begitu indah dan memberikan kepuasan baharu buat saya.

"All My Heart adalah pembaharuan sisi nyanyian saya selama ini yang lebih kepada balada berat dan nota-nota tinggi. Lagu baharu itu masih tekankan vokal tapi dalam nada lebih ringan," katanya.

Pernah memijak pentas Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) beberapa tahun lalu, Indah berharap dapat mengulangi pencapaian itu menerusi lagu terbabit.

"Macam lama sangat tak beraksi di pentas besar begitu. Rindu pula rasanya untuk merasa kehangatan dan saya harap inilah masa untuk kembali menyinar dengan lagu baharu ini," katanya.

All My Heart dilancarkan secara rasmi pada 12 Ogos lalu. Video muziknya sudah boleh ditonton di YouTube Indigital Music, Lagu itu terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan Indigital Music.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 7:45 AM