Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 41 kilogram dadah dipercayai syabu dan 720,000 biji pil yaba bernilai RM8.67 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, kelmarin.

Serbuan menerusi Op Benteng Covid-19 itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 8 PGA di sebuah rumah kosong jam 4.30 petang.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA), Datuk Kasuahdi Ali berkata, pihaknya melakukan intipan selama empat jam terhadap kediaman berkenaan sebelum serbuan dilakukan sebaik suspek lelaki berusia 43 tahun memasuki rumah terbabit.

"Hasil serbuan, kita menemui lapan bungkusan plastik hitam yang diletakkan di dapur rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut menemui 41 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.47 juta dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM7.2 juta.

"Bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum dihantar ke sekitar Pantai Timur untuk pil yaba, manakala syabu dihantar untuk pasaran Lembah Klang dan Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar.

KASUAHDI pada sidang media mengenai  rampasan dadah hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
KASUAHDI pada sidang media mengenai rampasan dadah hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Mengulas lanjut, Kasuahdi berkata, siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan masih dijalankan sama ada ia berperanan sebagai 'transporter' atau tauke sindiket.

"Siasatan juga mendapati, kediaman yang diserbu itu disyaki milik kakak suspek, namun siasatan terperinci masih dijalankan.

"Jumlah dadah jenis syabu yang dirampas boleh digunakan seramai 410,000 penagih, manakala pil kuda pula boleh digunakan untuk 144,000 penagih," katanya.

Katanya, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita akui walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sindiket pengedaran dadah masih mengambil peluang dan kita akan memperketatkan kawalan sempadan bagi mengekang kegiatan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 11:14 AM