Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Wanita tular yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah tidak didakwa di Mahkamah Syariah, di sini, hari ini.

Siti Nuramira dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dia sepatutnya didakwa dalam satu prosiding yang dijadualkan bermula jam 9 pagi ini.

Bagaimanapun, kelibat wanita itu dan peguamnya tidak kelihatan menyebabkan puluhan pengamal media yang berkumpul di perkarangan mahkamah sejak jam 8 pagi menunggu dengan tanda tanya.

Paralegal kepada peguam R Sivaraj, Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir dalam satu kenyataan media pagi ini memaklumkan menerima panggilan daripada pegawai JAWI dikenali Hanini kira-kira jam 10 malam tadi memberitahu Siti Nuramira akan dibebaskan tanpa jaminan JAWI serta-merta.

Katanya, JAWI akan berhubung dengan Siti Nuramira atau pihaknya apabila sudah bersedia untuk meneruskan prosiding pendakwaan.

"Pasukan peguam syariah kami sudah bersiap sedia untuk prosiding pendakwaan di mahkamah hari ini.

"Bagaimanapun, setakat jam 9 malam tadi, kami masih tidak dapat mendapatkan seorang penjamin untuk membantu Siti Nuramira pada hari ini.

"Individu terbaik yang kami ada adalah Adnan Miharja, seorang akauntan bertauliah dari London yang baru pulang ke Malaysia namun peguam syariah berasa kesesuaiannya diragui jadi kami terus mencari," katanya.

Menurut Hannann Syoffeeya, dia diberitahu Siti Nuramira dibawa ke rumah ibu saudaranya di Kelana Jaya, Selangor pada awalnya namun wanita itu (ibu saudara Siti Nuramira) menolak untuk menerima dan menempatkan anak saudaranya itu.

"Siti Nuramira kemudian dihantar ke sebuah lokasi di ibu kota iaitu tempat saya menetap.

"Saya membawanya ke dalam kereta saya dan dia meminta bertemu peguamnya Sivaraj dengan segera sebelum saya menghantarnya pulang ke rumah di Petaling Jaya.

"Dia berjumpa Sivaraj di Lebuh Pasar Besar berhampiran Masjid Jamek dan kemudian beredar.

"Kami tiba di rumahnya kira-kira tengah malam, Alex (teman lelakinya) terkejut dan mereka berdua berpelukan antara satu sama lain," katanya.

SITI Nuramira ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu. FOTO arkib NSTP
SITI Nuramira ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu. FOTO arkib NSTP

Sementara itu, Sivaraj ketika dihubungi mengesahkan Siti Nuramira tidak akan datang ke mahkamah kerana tiada pendakwaan dikenakan terhadap anak guamnya hari ini.

"Tiada sebab nak ke sana (mahkamah) pendakwaan tidak diteruskan hari ini.

"Semalam, saya tidak terbabit kerana Hannann Syoffeeya yang berhubung dengan pegawai JAWI," katanya.

Difahamkan, pendakwaan itu tidak diteruskan kerana ia membabitkan tuduhan sama dan hukuman yang dikenakan terhadap wanita itu di mahkamah sivil lebih berat daripada hukuman di mahkamah syariah.

Kelmarin, Siti Nuramira dan teman lelakinya, V Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Pada hari sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagram pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTube pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Terdahulu, media melaporkan, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, 9 Julai lalu dan direman selama empat hari, manakala teman lelakinya ditahan keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 10:59 AM