FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Washington: Saintis China berjaya membangunkan buah pinggang yang mengandungi sel manusia di dalam embrio babi, yang pertama di dunia.

Alternatif itu dijangka mampu membantu menangani kekurangan pendermaan organ pada masa depan.

Pengarang Kanan Penyelidik dari Institut Bioperubatan dan Kesihatan Guangzhou, Liangxue Lai berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada buah pinggang berikutan ia salah satu organ pertama yang dibangunkan dan yang paling biasa dipindahkan dalam perubatan manusia.

"Organ tikus besar dihasilkan pada tikus kecil tetapi percubaan sebelum ini untuk membesarkan organ manusia di dalam babi, tidak berjaya.

"Pendekatan kami meningkatkan integrasi sel manusia ke dalam tisu penerima dan membolehkan kami membangunkan organ manusia di dalam babi," katanya dalam satu kenyataan.

Ini adalah pendekatan berbeza kepada penemuan berprofil tinggi di Amerika Syarikat, baru-baru ini, apabila buah pinggang dan jantung babi yang diubah suai secara genetik diletakkan di dalam manusia.

Profesor Sains Sel Induk, King's College London, Dusko Ilic berkata, kajian baharu itu menggambarkan langkah perintis dalam pendekatan baharu untuk biokejuruteraan organ menggunakan babi sebagai inkubator untuk membangunkan organ manusia.

"Namun, banyak cabaran untuk menjadikan percubaan itu sebagai penyelesaian yang berdaya maju, malah strategi ini memerlukan penerokaan dan kajian lanjut," katanya.

Bagaimanapun, menurut pakar, penemuan itu menimbulkan isu etika terutama beberapa sel manusia juga ditemukan di dalam otak haiwan itu.

Profesor Biologi Sel Induk, University of Reading, Darius Widera berkata, kehadiran mana-mana sel manusia di di dalam otak babi masih menimbulkan kebimbangan.

"Walaupun pendekatan ini satu kejayaan jelas dan percubaan pertama yang berjaya untuk membangunkan keseluruhan organ yang mengandungi sel manusia dalam haiwan itu, bahagian sel manusia di dalam buah pinggang yang dihasilkan masih tidak cukup tinggi," katanya.

Cabaran utama dalam mencipta hibrid sedemikian ialah sel babi mengatasi sel manusia.

Untuk mengatasi halangan, pasukan menggunakan pengeditan gen CRISPR untuk memadamkan dua gen penting untuk buah pinggang terbentuk di dalam embrio babi untuk mencipta 'niche'.

Mereka kemudian menambah sel induk pluripoten manusia yang disediakan khusus, sel yang berpotensi untuk berkembang menjadi mana-mana jenis sel yang memenuhi 'niche'.

Sebelum implan embrio di dalam babi, mereka membesarkannya dalam tabung uji yang mengandungi bahan yang menyuburkan kedua-dua sel manusia dan babi.

Secara keseluruhan, mereka memindahkan 1,820 embrio kepada 13 ibu tumpang.

Kehamilan ditamatkan pada 25 dan 28 hari untuk menilai bagaimana eksperimen itu berfungsi.

Lima embrio yang dipilih untuk analisis itu didapati mempunyai buah pinggang yang berfungsi normal untuk peringkat perkembangan mereka, mula membesar ureter yang akhirnya akan menyambungkannya ke pundi kencing.

Ia mengandungi antara 50 dan 60 peratus sel manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 10:10 AM