PELAJAR menjalani ujian saringan Covid-19 selesai selesai hari pertama peperiksaan gaokao di Beijing FOTO AFP
PELAJAR menjalani ujian saringan Covid-19 selesai selesai hari pertama peperiksaan gaokao di Beijing FOTO AFP
Agensi

Beijing: Zhu Yongtao menghabiskan lebih sebulan 'dikurung' di sekolah menengahnya di sini supaya dia boleh mengambil peperiksaan terbesar dalam hidupnya.

The Washington Post melaporkan, pada pagi Selasa, ketika hujan renyai-renyai, dia melangkah masuk ke dewan peperiksaan untuk menduduki gaokao, peperiksaan kebangsaan bagi kemasukan ke universiti di China.

"Saya masih sedikit gementar, walaupun kami sudah melakukan banyak persediaan," kata Zhu, remaja berusia 17 tahun yang berkaca mata dan berpakaian seragam biru dan putih.

"Ia sememangnya memotivasikan kami, dikurung di sekolah selama 40 hari. Kami dapat fokus untuk belajar," katanya.

Di bawah dasar ketat 'sifar Covid' China, walaupun satu kes positif di sekolah, ia boleh menyebabkan semua orang dikuarantin.

Untuk memastikan wabak itu tidak akan menjejaskan harapan mereka memasuki universiti, sekolah tempat Zhu belajar dan sekolah lain di seluruh negara ditutup beberapa minggu sebelum gaokao.

Pelajar dan guru, sama-sama dilarang meninggalkan kampus.

Pandemik menjadikan peperiksaan tiga hari yang sukar ini lebih mencabar.

Tahun ini, 120 pelajar mengambil gaokao di pusat kuarantin dan 700 pelajar mengambilnya dari tempat lain, menurut penerbitan China Paper, memetik Kementerian Pendidikan China.

Seramai 12 pelajar positif koronavirus di Beijing, Liaoning dan Sichuan, pula menjalani ujian itu di hospital.

Dengan rekod 11.93 juta pelajar menduduki gaokao pada tahun ini, peperiksaan itu akan memberi tekanan pada sistem pencegahan wabak China.

Ini kerana ia menjadi perhimpunan besar-besaran terbesar menjelang kongres penting Parti Komunis China pada musim luruh ini.

Pegawai tempatan dengan cemas cuba mengelak penularan Covid-19 di kawasan mereka menjelang kongres berkenaan.

Sehubungan itu, pentadbir sekolah di seluruh negara ditugaskan untuk melakukan segala usaha untuk memastikan gaokao tidak menjadi menjadi acara yang menjadi penyebar Covid-19. .

Di Amerika Syarikat, kemasukan kolej dinilai berdasarkan pelbagai faktor, namun di China, ia sebahagian besarnya bergantung kepada markah gaokao.

Terdapat tekanan yang besar untuk pelajar berjaya dalam ujian berkenaan yang boleh memberi kesan yang besar kepada kehidupan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 6:30 AM