GAMBAR kenangan Mohamad Azri dan Nur Atikah. (Gambar kanan) Mohamad Azri menziarahi pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kluang. FOTO ihsan Mohamad Azri Naim
GAMBAR kenangan Mohamad Azri dan Nur Atikah. (Gambar kanan) Mohamad Azri menziarahi pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Kluang. FOTO ihsan Mohamad Azri Naim
Redzuan Muharam


Kluang: Berat untuk melepaskan namun Mohamad Azri Naim terpaksa akur apabila isteri tercinta, Nur Atikah Ramli dijemput Ilahi walaupun hampir enam bulan mereka melayari bahtera rumah tangga.

Nur Atikah, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini, jam 11.06 malam Jumaat lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah Allahyarhamah Nur Atikah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu, di sini kira-kira jam 11 pagi semalam.

Selain keluarga, Mohamad Azri adalah insan yang paling sedih kerana tidak dapat berada di sisi Nur Atikah ketika isterinya itu menghembuskan nafas terakhir.

"Saya sempat berinteraksi dengan isteri menerusi panggilan video buat kali terakhir, itupun cuma lapan minit saja.

"Saya cuba mohon kebenaran masuk ke dalam wad namun tidak dibenarkan kerana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Dua minit kemudian (selepas panggilan video), doktor maklumkan isteri sudah meninggal dunia. Saya sedih sangat ketika itu kerana berasa terlalu singkat masa terakhir yang sempat kami luangkan bersama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan keadaan Nur Atikah, Mohamad Azri berkata, isterinya ada menunjukkan gejala sebelum jatuh sakit iaitu batuk dan dia menyedarinya sebelum mereka berkahwin pada 26 Disember tahun lalu.

"Beberapa bulan selepas kami berkahwin, batuknya semakin teruk jadi saya bawa ke sebuah klinik di Johor Bahru, tidak jauh daripada rumah kami di Taman Mutiara Rini (Skudai, Johor Bahru).

"Mulanya doktor mengesyaki isteri ada asma jadi memberi ubat dan seminggu kemudian, keadaannya baik cuma nadinya pula berdegup laju.

"Kira-kira sebulan kemudian, saya bawa isteri semula berjumpa doktor dan dia menunjukkan perkembangan positif namun batuknya semakin teruk seminggu kemudian.

"Ujian imbasan X-ray mendapati paru-paru isteri sudah kritikal jadi doktor minta arwah dirujuk ke hospital dan ikutkan saya mahu membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. "Bagaimanapun, isteri minta saya menghantarnya ke HEBHK kerana mahu dekat dengan keluarganya," katanya.

Menurut Mohamad Azri berkata, doktor mengesyorkan Nur Atikah ke hospital menaiki ambulans namun dia menghantarnya sendiri pada Rabu lalu bagi mengikut permintaan isterinya.

Sepanjang perjalanan, mereka sempat bergurau juga bergelak tawa namun Mohamad Azri tidak menyangka itu kali terakhir dia dan isterinya dapat menghabiskan masa bersama.

"Ini kerana setibanya di hospital, doktor terus membawa isteri ke wad jadi saya tidak sempat bersalam dan menciumnya.

"Bagaimanapun, arwah isteri ada menghubungi saya menerusi panggilan video selepas masuk ke wad bagi memberitahu keadaannya yang akan dipakaikan tiub, alat bantuan pernafasan dan lampin pakai buang sebelum ditidurkan tidak lama selepas itu.

"Wajahnya tersenyum saja ketika itu dan keesokan harinya, doktor maklumkan keadaannya kritikal jadi minta saya tandatangan surat kebenaran bagi melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk memeriksa paru-paru.

"Hasil ujian mendapati paru-paru isteri sudah teruk serta ada darah beku yang menyebabkan pernafasan tersumbat manakala kuman juga sudah merebak sehingga ke buah pinggang," katanya.

Keesokan harinya (Jumaat), Mohamad Azri dimaklumkan doktor yang isterinya disyaki ada tibi nazak.

"Berat untuk saya melawan perasaan sedih kerana sehingga kini, saya masih menangis setiap kali solat dan berdoa untuknya seperti rindu yang tiada penghujung.

"Mana tidaknya, arwah pergi begitu pantas tetapi saya cuba reda dengan takdir Allah dan percaya dia berada di tempat baik kerana meninggal dunia hari Jumaat dengan wajah bersih.

"Sementara ada di sini (kampung arwah isteri), saya akan menziarahi pusaranya setiap hari dan telefon arwah akan saya simpan sebagai kenangan," katanya yang berterima kasih kepada mereka mendoakan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:00 PM