Oleh Yusmizal Dolah Aling


Putrajaya: Tiada persefahaman, masalah kewangan, pengabaian tanggungjawab zahir dan batin menjadi faktor utama menyebabkan 28,090 pasangan berusia 51 tahun ke atas memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah seluruh negara antara 2017 sehingga tahun lalu.

Selain itu, hubungan sulit dan tekanan emosi, faktor usia, hubungan renggang, cemburu dan kurang berkomunikasi juga menjadi penyebab kepada perceraian.

Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 4,945 kes diikuti Johor sebanyak 3,023 kes diikuti Kedah sebanyak 2,962 kes, Perak (2,727 kes) dan Kelantan (2,611 kes).

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Na'im Mokhtar berkata, secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 284,454 kes perceraian pasangan direkodkan pihaknya sepanjang tempoh sama.

Katanya, Selangor mencatatkan 56,608 kes, diikuti Johor (30,342 kes), Kedah (25,896 kes), Kelantan (22,261 kes), dan Perak sebanyak 22,194 kes.

"Itulah pola pendaftaran bagi mereka berusia 51 tahun ke atas. Kalau kita tengok pecahan dari segi tahun, ia berubah-ubah dengan tahun paling tinggi adalah pada 2019 dengan 6,513 kes permohonan cerai dibuat.

"Kalau kita perhatikan, faktor perceraian ini tidak ada perbezaan sama ada orang tua atau pasangan muda. Yang paling banyak adalah tiada persefahaman.

"Ada juga faktor lain seperti penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dan terbaru adalah pelbagai elemen media sosial yang menjadi punca perceraian itu," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes, isteri akan cuba untuk mempertahankan perkahwinan demi menjaga anak dan menunggu sehingga satu tempoh yang lama.

Katanya, pengabaian tanggungjawab oleh pemimpin keluarga menyebabkan ketidaksefahaman yang akhirnya mengakibatkan berlaku perceraian.

"Dalam kebanyakan kes, isteri mempertahankan sesuatu perkahwinan semata-mata mengorbankan diri demi kepentingan anak.

"Ini yang saya nampak, terutama membabitkan isteri yang tidak bekerja dan bergantung kepada suami semata-mata. Dia boleh berkompromi untuk satu tempoh masa tertentu dan selepas itu perkahwinan sudah tiada apa-apa," katanya.

Menurutnya, banyak perceraian berpunca daripada perkara yang remeh seperti tidak puas hati dengan masakan isteri.

"Pengalaman saya, ada satu kes, suami balik ke rumah dan dia tak puas hati dengan masakan isteri, kurang garam dia kata. Ini faktor yang kecil dan saya percaya dia ada masalah lain yang lebih besar.

"Bila dia datang ke mahkamah syariah, dia merujuk kepada insiden itu untuk mencari kesalahan yang lain," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Bahagia 30 tahun musnah sekelip mata

Oleh Yusmizal Dolah Aling

[email protected]

Kuala Lumpur: Tidak pernah menyangka perkahwinan yang dibina lebih 30 tahun berakhir dengan perceraian kerana salah faham dan gagal mengawal emosi.

Bagi Abdul Karim (bukan nama sebenar), 65, perubahan perasaan yang berlaku kepada dirinya dan pasangan sudah tidak boleh dielakkan, apatah lagi anak sudah dewasa dan membawa haluan masing-masing.

Katanya, dia dan isteri berusia 60-an mengambil masa yang lama sebelum membuat keputusan untuk berpisah kerana perasaan cinta dan sayang sudah terhakis tanpa satu sebab yang jelas.

"Saya tahu kami bukanlah bergaduh besar atau ada isu yang tidak boleh dikompromi, tetapi mungkin faktor usia yang menjadikan perasaan cinta semakin menjauh.

"Akhirnya saya akur dengan jodoh kami hanya setakat itu saja. Mulanya susah hendak menerangkan keadaan kepada anak, tapi alhamdulillah mereka faham.

"Saya dan isteri dapat terima bahawa kami lebih sesuai sebagai kawan atau kenalan saja. Doakan kami bahagia dengan jalan masing-masing," katanya yang bercerai dengan isterinya, tiga tahun lalu.

Sementara itu, aktivis masyarakat Erni Zawawi berkata, kebanyakan kes yang dirujuk kepadanya membabitkan mereka yang sudah tiada perasaan kasih sayang terhadap pasangan masing-masing.

Katanya, antara punca utama perceraian membabitkan pasangan berusia 51 tahun ke atas disebabkan perselisihan faham akibat perbezaan pendapat serta sikap salah sangka dalam keadaan beremosi dan mental yang tidak stabil.

"Masalah dan isu saban hari yang mereka kerap hadapi adalah tidak boleh berkomunikasi dengan baik dan perbezaan pengharapan di mana pengharapan yang tinggi selalunya diletakkan ke atas salah seorang pasangan," katanya.

"Mereka enggan berkompromi dan mencari alternatif untuk menyelesaikan isu atau masalah yang dihadapi. Isu ini kerap berlaku di antara pasangan, dan ia menjadi lebih kritikal apabila keadaan dari segi emosi atau mental salah seorang pasangan atau kedua-duanya tidak stabil, terutamanya membabitkan perkara yang remeh-temeh," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pasangan yang mengambil keputusan untuk bercerai agar memikirkan semasak-masaknya dan menjaga perkahwinan daripada berakhir dengan perpisahan.

"Keputusan untuk bercerai itu juga akan membabitkan soal hati, emosi dan kebajikan ahli keluarga yang lain, terutama anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 12:00 PM