ANGGOTA polis mengambil keterangan rakan mangsa. (Gambar kecil) Puspasari Aminuddin. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA polis mengambil keterangan rakan mangsa. (Gambar kecil) Puspasari Aminuddin. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: "Saya pelik bila nampak dia terlalu awal timbul di permukaan air," kata pemandu bot, Mohamad Sani menceritakan kejadian wanita yang meninggal dunia ketika menyertai aktiviti menyelam di perairan Tokong Timur, Pulau Tenggol, hari ini.

Mangsa, Puspasari Aminuddin, 37, yang lengkap dengan pakaian menyelam disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi.

Mohamad berkata, dia memandu sebuah bot membawa mangsa yang juga Penolong Pegawai Tadbir, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama 11 penyelam lain untuk menyelam di kawasan itu.

"Kami bertolak dari Kuala Dungun jam 8.30 pagi dan tiba jam 9.45 pagi sebelum mangsa serta penyelam lain turun melakukan aktiviti menyelam.

"Saya dan pembantu berada di bot dan 15 minit selepas itu, saya pelik bila melihat dia timbul di permukaan air sedangkan masa menyelam diperuntukkan sekitar 45 minit," katanya.

Katanya, dia hanya membiarkan keadaan itu kerana menyangka mangsa hendak berehat dan mengambil nafas.

"Bila melihat mangsa tidak bergerak, saya mula curiga sebelum menghidupkan enjin bot dan mendapatkannya dalam jarak kira-kira 150 meter.

"Mangsa tidak menunjukkan tindas balas selepas saya beberapa kali mengejutkan dia sebelum saya bertindak menaikkan dia ke atas bot," katanya.

Mohammad berkata, selepas membuat pemeriksaan nadi, dia segera menghubungi talian kecemasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa bersama tiga rakan tiba di Dungun malam tadi sebelum bertolak ke Pulau Tenggol untuk menyelam.

"Mangsa dikatakan memiliki sijil menyelam dan dijangka pulang ke Dungun pada petang ini.

"Mayat dibawa oleh pemandu bot ke Kuala Dungun sebelum ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut," katanya.

Baharudin berkata, keluarga mangsa dimaklumkan berhubung kejadian itu dan kini dalam perjalanan ke Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 4:45 PM