SURAT Galia untuk ibunya yang tular di media sosial. FOTO Twitter Anton Herashchenko
SURAT Galia untuk ibunya yang tular di media sosial. FOTO Twitter Anton Herashchenko
Agensi

Kyiv: Sungguh menyentuh hati apabila seorang kanak-kanak Ukraine yang kehilangan ibunya dalam perang pencerobohan Rusia, menulis warkah buat wanita itu.

Ibunya terbunuh dalam tragedi di Borodyanka yang disifatkan lebih mengerikan daripada Bucha berikutan penemuan kubur besar.

Dalam warkah berkenaan, Galia, 9, berterima kasih kepada ibunya untuk sembilan tahun membesarkannya selama ini.

"Mama. Surat ini hadiah untukku pada 8 Mac.

"Terima kasih untuk sembilan tahun yang terbaik dalam hidup saya," katanya.

Kanak-kanak itu berjanji dia akan menjadi anak yang baik supaya boleh bertemu kembali dengan ibunya di syurga.

"Kamu adalah ibu paling terbaik dalam dunia. Saya tak akan lupakan kamu.

"Saya harap ibu masuk syurga.

"Saya juga akan cuba yang terbaik menjadi seseorang yang baik untuk masuk syurga," katanya.

Warkah menyentuh hati itu dikongsikan bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Ukraine, Anton Herashchenko menerusi Twitter.

Reuters sebelum ini melaporkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan keadaan di bandar Borodyanka adalah lebih mengerikan berbanding Burcha, di mana tentera Russia dipercayai membunuh ratusan orang awam.

Borodyanka terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari Bucha, di mana sebelum ini pegawai tempatan memaklumkan lebih 300 orang awam dibunuh oleh tentera Russia dan mayatnya ditanam di dalam kubur besar.

Zelenskiy bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut atau bukti bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap pembunuhan orang awam di situ.

Laporan berasingan terdahulu oleh AFP pula melaporkan pegawai Ukraine, mendakwa, pihaknya menemui banyak mayat selepas tentera Rusia berundur dari bandar Bucha.

Tentera Rusia kini dilaporkan sudah mengumpulkan semula beberapa pasukannya di sekitar Kyiv untuk dihantar ke wilayah timur Ukraine iaitu Donbas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:45 AM