KEMUSNAHAN di bandar Bucha, di luar Kyiv, Ukraine. FOTO AFP
KEMUSNAHAN di bandar Bucha, di luar Kyiv, Ukraine. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Mayat di Bucha, Ukraine sudah bergelimpangan selama berminggu-minggu sekali gus menyangkal dakwaan Moscow bahawa mayat dalam pakaian awam itu muncul hanya selepas tenteranya berundur dari bandar berkenaan.

Ia berdasarkan imej satelit diterbitkan oleh firma Amerika Syarikat (AS) Maxar Technologies dan analisis oleh AFP terhadap gambar kejadian berkenaan yang diambil oleh pihaknya.

Sejak pencerobohan 24 Februari ke atas Ukraine, Rusia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Kyiv dan tuduhan yang semakin meningkat bahawa tentera Moscow melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Moscow menafikan dakwaan berkenaan.

Namun, imej satelit pertengahan Mac di jalan Bucha nampaknya menunjukkan beberapa mayat orang awam terbaring di jalanan.

Pegawai Ukraine, baru-baru ini berkata, pihaknya menemui banyak mayat selepas tentera Rusia berundur.

Bandar Bucha di barat laut Kyiv ditawan semula tentera Ukraine dan Kyiv berkata pada hujung minggu lalu berkata, ia menemui banyak mayat susulan pengunduran Rusia.

"Imej satelit Maxar resolusi tinggi yang dikumpul di Bucha, Ukraine, mengesahkan dan menyokong video dan gambar media sosial terkini yang mendedahkan mayat terbaring di jalanan dan ditinggalkan di tempat terbuka selama berminggu-minggu," kata jurucakap Maxar Technologies, Stephen Wood dalam satu kenyataan pada Isnin.

The New York Times menerbitkan analisis jarak dekat Jalan Yablonska Bucha, dan membuat kesimpulannya.

"Selepas membandingkannya dengan rakaman video dari 1 dan 2 April, banyak mayat di sepanjang jalan sudah pun berada di sana sejak sekurang-kurangnya tiga minggu lalu semasa tentera Rusia mengawal bandar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 10:51 AM