Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner
Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner berpendapat pemain yang sudah menerima suntikan dos penggalak dan didapati positif Covid-19 dengan hanya mengalami simptom ringan tidak perlu di kuarantin hingga menjejaskan jadual Liga Malaysia (Liga M).

Jelas jurulatih dari Jerman itu, keberkesanan dos penggalak dalam memberi perlindungan secara optimum sudah memadai.

Katanya, beliau simpati dengan nasib beberapa pasukan Liga M yang masih belum memulakan saingan musim ini apabila perlawanan membabitkan pasukan terpaksa ditunda ekoran terdapat jangkitan dalam kalangan pemain.

"Covid-19 terus berleluasa dan saya ada pendapat peribadi tentang kes ini dan bagi saya, kalau semua orang sudah mendapat booster (dos penggalak), bagi saya ia hanya selsema biasa kalau sah positif tanpa simptom.

"Jadi kita kena terimanya dan situasi ini mungkin kena hadapinya untuk beberapa tahun lagi. Tapi ini bukan soal bola sepak sahaja.

"Kita kena ubah peraturan apabila seseorang yang positif perlu dikuarantin… takkan kita nak lalui situasi sama, enam hingga tujuh tahun perkara sama kena kuarantin hanya disebabkan selsema biasa tanpa simptom dan itu tidak masuk akal.

"Tapi ini bukan tugas saya dan ini hanyalah pendapat saya sahaja. Kerajaan kena buat keputusan dan saya bersimpati dengan pasukan yang tak dapat bermain dan kalau seorang ada simptom dan alami masalah kesihatan yang serius saya ucapkan cepat sihat, tapi kalau semua dah dapat booster bagi saya ia hanyalah selsema biasa," katanya.

Sebelum ini, beberapa aksi Liga M terpaksa ditunda termasuklah perlawanan membabitkan Terengganu FC apabila setakat sekarang, pasukan dari Pantai Timur itu satu-satunya pasukan yang masih belum beraksi selepas dua perlawanan Liga Super dijalankan.

Mengikut jadual, skuad Penyu perlu berdepan Sri Pahang pada minggu lalu namun terpaksa dibatalkan ekoran hampir separuh pemain skuad Tok Gajah positif Covid-19.

Terbaru, skuad kendalian Nafuzi Zain sekali lagi tidak dapat beraksi apabila Negeri Sembilan FC pula 'diserang' Covid-19 untuk menyaksikan perlawanan malam ini ditunda.

Selain Liga Super, beberapa aksi Liga Perdana juga terpaksa dibatalkan gara-gara virus berkenaan, dengan kini peraturan baharu dari Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan penundaan aksi jika 50 peratus pemain didapati positif berbanding musim lalu yang memberi kemenangan percuma kepada pihak lawan yang bebas Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 5:37 PM