JAM GPS yang diberi kepada penjaga kanak-kanak autism.
JAM GPS yang diberi kepada penjaga kanak-kanak autism.
DR Mohd Azhar (tiga dari kiri) membuat lawatan ketika sesi pembelajaran kanak-kanak Autism di Pusat Permata Kurnia, Sentul.
DR Mohd Azhar (tiga dari kiri) membuat lawatan ketika sesi pembelajaran kanak-kanak Autism di Pusat Permata Kurnia, Sentul.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Tingkah laku hiperaktif kanak-kanak penghidap autisme mampu diatasi selepas Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membangunkan sistem peranti khas yang dikenali sebagai ‘Permata Track Autism’ menerusi pengguna jam pintar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI Datuk Dr Azhar Yahaya berkata, sistem berkenaan dibangunkan oleh ANGKASA bermula pada September tahun lalu dan ia menggunakan teknologi navigasi satelit yang diintegrasikan dengan teknologi komunikasi mudah alih.

“Secara asasnya, jam pintar berkenaan yang dipakai oleh kanak-kanak penghidap autisme berkenaan menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) dan kedudukan kanak-kanak ini boleh dikesan menggunakan aplikasi khas daripada telefon pintar.

“Ibu bapa boleh mengesan lokasi kedudukan anak setiap masa menerusi aplikasi telefon pintar dan keluarga boleh menetapkan zon kawasan maya untuk anak mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran Permata Track Autism, semalam.

Mengulas berhubung aspek teknikal alat berkenaan, Ketua Pengarah ANGKASA Dr Noordin Ahmad menerangkan bahawa alat berkenaan dapat memantau pergerakan kanak-kanak dan jika mereka keluar daripada zon maya itu, satu SMS akan dikirimkan kepada telefon penjaga.

Menurutnya, zon maya berkenaan juga boleh ditetapkan atau diubah mengikut kesesuaian penjaga dan ia boleh diakses menerusi kemudahan telefon pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 7:11 AM