KERETA mangsa ditemui terdampar di tebing sungai tanpa kelibat pemandu.
KERETA mangsa ditemui terdampar di tebing sungai tanpa kelibat pemandu.
myMetro

Seremban: Niat murni seorang lelaki mahu menghantar rakannya pulang bertukar tragedi apabila kereta dipandu dihanyutkan arus deras hingga memasuki Sungai Simen dalam kejadian banjir kilat di Jalan Rantau-Sungai Gadut, di sini, kelmarin.

Mangsa R Sri Durai, 48, dikhuatiri lemas selepas gagal keluar dari kereta Proton Saga FLX dipandunya namun rakan M Siva Ganes, 35, berjaya menyelamatkan diri.

Tragedi jam 6 petang itu berlaku apabila laluan terbabit dinaiki air akibat hujan lebat berterusan menyebabkan kereta mangsa dibawa arus deras ke Sungai Simen berhampiran.

Kakak mangsa, Parameswary, 51, berkata, adiknya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di Seremban dalam perjalanan menghantar rakan sekerja pulang ke rumah di Rantau.

Bagaimanapun, katanya, kereta adik bongsu daripada tujuh beradik itu terperangkap dalam banjir sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai berhampiran.

“Saya mengetahui kejadian apabila dihubungi saudara jam 7 malam (kelmarin). Saya segera menghubungi isteri adik yang tinggal di Rasah Jaya untuk mendapatkan kesahihan, tetapi dia terkejut kerana tidak mengetahui kejadian itu.

“Beberapa minit kemudian, adik ipar saya menerima panggilan daripada polis. Saya kemudian bergegas ke lokasi kejadian dari rumah di Tampin, untuk mengetahui keadaan adik,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di sini, semalam.

Lebih menyedihkan Parameswary apabila diberitahu Sri Durai tiada di dalam kereta yang ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat, jam 11.38 malam kelmarin.

Menurutnya, isteri mangsa dan dua anak perempuannya berusia 14 serta 19 tahun begitu sedih dengan kejadian terbabit selain berharap Sri Durai dapat ditemui segera.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang Nurazhim Mohd Shah berkata, seramai 34 anggota BBP Senawang termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, kereta mangsa ditemui tersangkut pada tebing sungai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian namun mangsa masih gagal ditemui, semalam.

“Mangsa dipercayai dihanyutkan arus kerana tingkap keretanya pecah. Oleh itu, operasi pencarian diluaskan sehingga lebih 10 kilometer dari lokasi kejadian sehingga ke Sungai Linggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 10:45 AM