Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menambah bantuan tunai RM225,000 kepada negeri yang terjejas akibat banjir serta bantuan kewangan kepada petugas dan pengedar syarikat itu bagi meringankan beban mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, bantuan tunai kepada negeri yang dilanda banjir itu tambahan kepada sumbangan RM400,000 PERODUA kepada kawasan terjejas teruk menjadikan keseluruhan sumbangan sejak Disember 2014 sebanyak RM625,000.

“PERODUA juga menawarkan potongan 20 peratus ke atas alat ganti tulen terpilih kepada pemilik kenderaan PERODUA yang mengalami kerosakan akibat banjir.

“Alat ganti ini termasuk bahagian elektronik, karpet dan gasket enjin,” katanya. dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pengeluar kereta itu akan membayar balik bayaran khidmat tunda kereta ke pusat servis Perodua terdekat sehingga maksimum RM100.

PERODUA mempunyai 176 pusat servis dan pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir boleh menghubungi Perodua Smart Assist di talian 1-800-88-5555 untuk bantuan penundaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 8:35 AM