SISI peribadi dijadikan aset terbaik untuk hasil lagu lebih menyentuh.
SISI peribadi dijadikan aset terbaik untuk hasil lagu lebih menyentuh.
Georgie Joseph

BAHARU berusia 20 tahun, kematangan penyanyi hip hop kelahiran Indonesia ini jelas terpancar tatkala bicara pasal muzik. Warren Hue, ternyata tahu apa dikejarnya dalam membina karier muzik yang gah.

Turut melancarkan lagu baharu berjudul West beberapa bulan lalu, Warren tidak sukar menangkap perhatian peminat muzik dunia. Kini bernaung di bawah label 88rising berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), sudah masanya dia takluk muzik barat.

Baginya, dia sentiasa mengutamakan strategi yang terbaik apabila menghasilkan muzik. Dia enggan terikat kepada ideologi tertentu dan memilih untuk seimbangkan corak karyanya baik menerusi melodi yang mesra telinga serta kedalaman mesej lirik.

"Saya percaya penghasilan lagu yang 'catchy' adalah sangat penting kerana pendengar mahu dengar melodi menyeronokkan. Tidak kisah ia mungkin menjadi sohor kini (trending) pada masa tertentu saja.

"Bagaimanapun, saya suka kalau melodi yang mudah menangkap halwa telinga itu disertai dengan lirik lebih peribadi. Apabila liriknya berdasarkan pengalaman hidup sebenar, maka mudah untuk mereka kaitkan dengan diri.

"Segalanya terpulang kepada bagaimana hala tuju terbaik yang penyanyi itu aturkan untuk diikuti. Macam saya, memang mahukan sisi peribadi dijadikan aset terbaik untuk hasil lagu lebih menyentuh," katanya.

Penghijrahannya ke Amerika juga nyata tidak sia-sia kerana pelbagai peluang menerpa kepadanya tahun lalu. Di samping terus semarakkan jenamanya dalam bidang muzik, dia tidak ketinggalan menjadi duta jenama gergasi.

Ia termasuk terbabit projek bersama Samsung dan Microsoft. Apa pun, antara pencapaian terbesar dalam karier setakat ini tidak lain menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem Marvel, Sang Chi & The Legend of the Rings.

Warren mengakui, sudah menjadi impian sejak kecil untuk terbabit dalam projek membabitkan syarikat terbesar hiburan di seluruh dunia itu. Bahkan, dia masih cuba untuk berusaha menghadam pencapaiannya.

BAHARU lancarkan lagu berjudul West.
BAHARU lancarkan lagu berjudul West.

"Sejak kecil saya sentiasa menanam impian untuk dapat menyumbang kepada Marvel. Tidak sangka, rupa-rupanya peluang itu sampai terlebih dahulu dan memang sukar untuk percaya mulanya.

"Saya sendiri membesar dalam lingkungan peminat serta era jenama Marvel. Justeru, saya amat seronok apabila hasil kerja turut mendapat kepercayaan untuk dimasukkan dalam projek itu," katanya.

Berasakan terlalu awal merasai kemahsyuran dengan berbagai pencapaian itu, Warren tidak mahu sia-siakan perjuangan dibinanya untuk ke tahap sekarang. Hakikatnya, dia tahu perjalanan sebenar baharu bermula.

"Saya tahu bagaimana pergelutan yang dirasai setiap pemuzik dalam memastikan muzik mereka ke depan. Sebelum ini pun, saya cuma berkarya di bilik sendiri di Jakarta sebelum dilamar label sekarang.

"Oleh demikian, saya kena betul-betul menanam azam cukup kuat bagi mencapai misi saya dalam arena muzik di barat. Memang masih samar, namun hasil dituai sekarang sudah meyakinkan," katanya.

Petah dan memang terserlah auranya sebagai penghibur bertaraf Amerika, Warren bagaimanapun tidak akan pernah melupakan asal usul serta budaya Indonesia. Dia tidak menafikan akan tetap menyuntik elemen mengenai asal usulnya dalam muzik dihasilkan.

"Saya berpegang kepada ketelusan cerita dalam lagu itu akan cukup kukuh jika dizahirkan dari pengalaman peribadi. Dan itu yang saya sentiasa lakukan dalam lagu dihasilkan.

WARREN makin berkobar-kobar takluk industri muzik barat.
WARREN makin berkobar-kobar takluk industri muzik barat.

"Secara tidak langsung, ia semestinya akan membuka cerita bagaimana kehidupan atau asal usul saya. Ditambah, saya pun memang membesar di Jakarta, Indonesia sampai umur 18 tahun dan ia sangat dekat di hati," katanya.

Dalam pada itu, Warren juga mengakui dia tidak terlalu terkesan dan menganggap penangan pandemik Covid-19 sebagai musibah besar terutama terhadap anak seni.

Sebaliknya, dia mengharungi setiap jerih yang menimpa dengan penuh kesabaran serta tidak goyah. Dia tahu proses kreativiti itu tidak mungkin rapuh jika dibuat secara betul.

"Dalam berkarya, tidak kisah apa juga situasi dihadapi, kena tanam dalam fikiran bahawa kita tetap perlu hasilkan sebuah karya yang sempurna. Kerja keras sebegitu yang akan membezakan hasil kita dengan orang lain.

"Memang bukan setiap masa kita akan berjaya hasilkan karya agung. Tapi, ketahui bahawa usaha keras yang kita salurkan itu tidak akan pernah mengkhianati karier kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:00 AM