PEIXOTO dan Mirico bertinju di dalam gelanggang. FOTO AGENSI
PEIXOTO dan Mirico bertinju di dalam gelanggang. FOTO AGENSI
Agensi

Brasília: Dua ahli politik Brazil mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan perbezaan pendapat mereka apabila bersetuju untuk bertinju di dalam gelanggang.

Perlawanan itu turut disiarkan dalam internet.

Datuk Bandar Borba, Simao Peixoto sebelum itu dicabar bertinju secara terbuka oleh bekas ahli majlis, Erineu da Silva, pada September lalu.

Silva, yang menggunakan nama panggilan Mirico dilaporkan marah selepas mendakwa datuk bandar gagal memulihara taman air dekat sungai Madeira.

Beliau menuntut diadakan perlawanan tinju dengan ahli politik berkenaan yang digelarnya sebagai 'hampas' dan 'penyangak'.

Sebulan kemudian iaitu pada satu pagi Ahad, perlawanan antara kedua-duanya diadakan di gimnasium di sekolah tempatan.

Ia turut disaksikan oleh ratusan penonton.

Peixoto masuk ke gelanggang kira-kira jam 2.30 pagi, dikelilingi pembantu dan membawa tuala hitam.

Silva pula muncul dengan membuat provokasi dengan menconteng platform dan pergi ke kawasan lawannya.

Dia kemudian menunjukkan isyarat seperti memotong leher, lapor laman web BNC Amazonas.

Saksi yang melihat perlawanan selama 13 minit itu berkata, Peixoto mengalami serangan menyakitkan.

Walaupun pada mulanya Peixoto berjaya menjatuhkan Mirico, namun lawannya itu bertindak balas.

Selepas tiga pusingan, Peixoto hampir tidak dapat berjalan kerana jumlah tendangan yang diterimanya.

Walaupun begitu, Peixoto diumumkan sebagai pemenang dan keputusan itu tidak disenangi penonton.

"Peliknya, Mirico tewas dengan satu mata," kata Fato Amazônico seperti dilaporkan The Guardian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:30 AM