Adnan bersama isteri, Roziana dan anak lelakinya Muhammad Azfan Zariff menunjukkan skrol ijazah dan gambar Allahyarham Muhammad Amirul Bakhtiar pada Hari Konvokesyen UMT ke-18. FOTO Zaid Salim
Adnan bersama isteri, Roziana dan anak lelakinya Muhammad Azfan Zariff menunjukkan skrol ijazah dan gambar Allahyarham Muhammad Amirul Bakhtiar pada Hari Konvokesyen UMT ke-18. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Nerus: Hari konvokesyen anak sulung menjadi detik sedih bagi keluarga Adnan Endut, 57, apabila majlis berkenaan dihadiri tanpa kelibat anak lelakinya yang sepatutnya menaiki pentas di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Adnan yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak dapat menahan kesedihan ketika menerima segulung ijazah bagi mewakili Allahyarham Muhammad Amirul Bakhtiar, 23, yang meninggal dunia pada September tahun lalu.

Muhammad Amirul Bakhtiar maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, selepas terbabit kemalangan jalan raya, September tahun lalu.

Kejadian dikatakan berlaku ketika Allahyarham melakukan aktiviti konvoi berbasikal bersama bapanya di Telemong, Hulu Terengganu.

Adnan berkata, Allahyarham mengalami kecederaan dalaman selepas basikal ditunggang dirempuh lembu yang terkejut akibat bunyi kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan.

"Hampir setahun saya tidak keluar air mata tetapi apabila pihak pengurusan UMT menjemput saya untuk menerima skrol, saya sangat terharu dan sedih kerana penghargaan diberi kepada kami sekeluarga amat luar biasa.

"Kami sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan UMT Terengganu," katanya yang turut diiringi isteri, Roziana Wahab, 48, dan anak lelakinya, Muhammad Azfan Zariff, 11.

Allahyarham Bakhtiar adalah pelajar cemerlang dalam jurusan Sarjana Muda Agroteknologi Akuakultur dan bekas Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Adnan berkata, ketika tragedi itu, anak sulungnya sudah menamatkan pengajian di UMT.

Katanya, Allahyarham berhasrat meneruskan pembelajaran di peringkat tertinggi di universiti sama dan sebelum ini menerima Diploma Perikanan UMT pada 2017.

"Ijazah yang ditinggalkan arwah ini sangat bermakna dan menjadi kenangan keluarga buat selama-lamanya," katanya.

Sementara itu, atlet kuda lasak negara, Azizatul Asma Abdullah, 25, turut menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dalam majlis berkenaan.

Azizatul pernah berada di kedudukan pertama dunia daripada 573 pelumba dalam kategori Young Riders World Endurance dan pernah menjulang namanya sebagai Riders Of The Year 2013.

Atlet negara itu juga pernah dinobatkan antara 20 pelumba terbaik dalam temasya antarabangsa di Tarbes, Perancis pada tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 4:23 PM