Redzuan Muharam


Taiping: Bukan satu atau dua, namun ratusan air terjun dalam negara sudah diteroka Mohd Syafiqi Zakaria sejak tujuh tahun lalu.

Aktiviti itu didorong minat dan keinginan menjejaki air terjun khususnya yang tersembunyi dalam rimba dan hutan belantara.

Mohd Syafiqi, 30, yang menetap di Simpang, di sini, berkata, sebelum menjadi pemburu air terjun, dia terlebih dulu aktif dalam aktiviti pendakian dan 'trekking' bersama dengan geng pendaki.

"Selepas puas dengan aktiviti pendakian, datang pula keinginan untuk menjalankan misi menjejaki air terjun.

"Bagaimanapun, saya tidak berseorangan, sebaliknya bersama komuniti AG47X (EKSPLORASI PERAK) untuk melakukan misi itu.

"Seronok kerana saya dibesarkan dalam kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sewaktu kecil jadi lebih terdedah dengan laut dan jarang jumpa air terjun, tetapi suka melihat keindahannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Syafiqi Zakaria puas dapat menjejaki air terjun bukan komersial dan tersembunyi dalam rimba. FOTO ihsan MOHD SYAFIQI ZAKARIA
MOHD Syafiqi Zakaria puas dapat menjejaki air terjun bukan komersial dan tersembunyi dalam rimba. FOTO ihsan MOHD SYAFIQI ZAKARIA

Berkongsi cabaran dilalui, Mohd Syafiqi berkata, kekuatan mental dan fizikal amat penting bagi menyempurnakan sesuatu misi.

Katanya, ia kerana kebanyakan laluan ke air terjun tidak mempunyai trek, bercabang dan sebahagiannya berada dalam hutan yang belum ada rekod kemasukan pengunjung, jadi tiada pilihan kecuali berpandukan peta bagi mencari arah.

Sebagai langkah keselamatan, dia akan maklumkan terlebih dulu kepada keluarga dan balai polis berhampiran mengenai lokasi misi dan memaklumkan aktiviti akan dilakukan.

"Syukur kerana setakat ini, saya belum ada pengalaman sesat, namun itu tidak bermakna saya boleh redah saja kerana tetap ikut prosedur iaitu mohon permit daripada Jabatan Perhutanan jika mahu masuk ke hutan simpan selain berurusan dengan agensi lain antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kini, permohonan agak mudah kerana boleh dibuat menerusi dalam talian. Ada laluan masuk ke hutan yang perlu melalui kebun orang dan kampung Orang Asli jadi perlu minta izin daripada penduduk setempat, ketua kampung atau Tok Batin bagi menghormati mereka.

"Kebiasaannya, saya akan pergi meninjau tempat dulu dan kemudian barulah teruskan dengan misi menjejak air terjun yang ada kalanya mengambil masa dua hari bergantung kepada tempat," katanya.

Di samping kepuasan peribadi Mohd Syafiqi berkata, aktiviti itu dilakukan bagi membantu penduduk setempat membangunkan eko pelancongan di sesuatu kawasan.

Menurutnya, dia sudah menjejaki banyak lokasi air terjun menarik dalam negara, kebanyakannya di Perak dan ada di antaranya boleh dikomersialkan sebagai tempat pelancongan dengan bantuan kerajaan persekutuan, negeri serta PBT.

"Bagi membantu penduduk, saya kongsikan maklumat itu dan terserah kepada mereka untuk ambil peluang dengan bangunkan chalet atau apa saja yang bersesuaian.

"Itu yang boleh dilakukan untuk komuniti dan saya puas kerana dapat ilmu baru seperti punca air terjun, perubahan bentuk muka bumi dan bagaimana boleh terjadinya fenomena kepala air serta cara menyelamatkan diri serta bertahan dalam hutan," katanya yang bekerja sebagai eksekutif jualan di syarikat swasta.

Mohd Syafiqi berkata, buat masa ini, dia belum jemu dengan hobinya itu, malah menyimpan impian meneroka air terjun di luar negara satu hari nanti.

Menurutnya, dia berkongsi video misi dan ilmu hutan sepanjang pengembaraannya di saluran YouTube miliknya iaitu Syafiqi Zakaria Channel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 8:24 PM
MOHD Syafiqi menjalankan misi menjejaki air terjun sejak tujuh tahun lalu. FOTO ihsan Mohd Syafiwi Zakaria
MOHD Syafiqi menjalankan misi menjejaki air terjun sejak tujuh tahun lalu. FOTO ihsan Mohd Syafiwi Zakaria