MELALUI beberapa jalur anak sungai sebelum tiba ke destinasi.
MELALUI beberapa jalur anak sungai sebelum tiba ke destinasi.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


TIDAK suka 'mengGoogle' sesebuah destinasi, sudah menjadi kebiasaan untuk penulis kerana pengalaman menuju terus ke sesuatu destinasi pasti memberi kepuasan tersendiri.

Perkara itu yang menerjah jiwa penulis sebaik sahaja melihat keindahan Air Terjun Sungai Kooi yang tersembunyi di dalam hutan belantara, Hutan Royal Belum di Gerik, Perak.

Ia seakan berada di dalam sebuah pulau tersembunyi di dalam hutan itu, terasa puas melalui jalan denai yang terhidang untuk si pengembara.

Belum tiba pun lagi ke destinasi itu, sudah memberi kepuasan tersendiri kepada penulis menikmati laluan denai yang penuh dengan keindahan belantara.

Pokok hutan yang mempunyai nilai tidak terhingga berusia ratusan tahun, memaksa pengunjung untuk melihat rebungnya.

Sinaran mentari segar melalui celah dedaun menghidupkan lagi suasana belantara untuk menuju ke destinasi itu.

Dalam perjalanan bersama rakan media yang lain, penulis sengaja berada di belakang sekali untuk menikmati dunia belantara itu.

Kepuasannya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Namun, perlu diingatkan apabila berada di dalam hutan pastikan anda berteman meskipun ingin menikmati keindahannya.

Pada hemat penulis untuk ke destinasi itu jika tidak bergambar dan berjalan laju mungkin boleh mengambil masa sekitar 15 minit sahaja.

Namun, ia mustahil kerana sepanjang perjalanan bagi mereka yang gemarkan alam semula jadi pasti tidak akan melepaskan peluang untuk merakam keindahan alam ciptaan Tuhan itu.

PEMANDANGAN Air Terjun Sungai Kooi yang mempersonakan.
PEMANDANGAN Air Terjun Sungai Kooi yang mempersonakan.

Sekitar 45 minit berjalan kedengaran dari jauh bunyi deruan air yang begitu kuat, selang beberapa langkah, mata penulis seakan tidak dapat berkelip melihat keindahan Air Terjun Sungai Kooi.

Ternyata, jalur laluan air sungai kecil membarisi beberapa laluan denai sebentar tadi sebenarnya memberi petunjuk bahawa terdapat 'ibu' megah di hujungnya.

Meskipun air terjun itu tidak mempunyai kolam yang besar untuk aktiviti bermandi-manda untuk pengunjung tetapi menikmati deraian air kasar dan sejuk itu di tubuh cukup memberi kepuasan.

Jika anda seorang yang gemarkan aktiviti merakam foto alam semula jadi, amat disarankan untuk menerokai destinasi ini kerana terlalu banyak khazanah menarik yang boleh dijadikan subjek. Apatah lagi, ia jarang diterokai pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:46 AM