AKSI peserta kreatif merakam gambar pemandangan sekitar.
AKSI peserta kreatif merakam gambar pemandangan sekitar.
Nurul Husna Mahmud


PENGEMBARAAN penulis kali ini bermula dengan menaiki pacuan empat roda milik seorang kru Recreational Outdoor Hikers (ROH), Brad Harnain Shafiai dari Gombak, Selangor menuju ke Maran, Pahang.

Antara tujuannya ialah ingin menjejaki destinasi air terjun tersohor daerah itu, Jerangkang kira-kira 55 kilometer dari Kuantan.

Ia cukup tersohor dalam kalangan ‘pemburu’ air terjun apabila mendapat pelbagai jolokan antaranya ‘Hilton,’ ‘Infinity pool’ dan ‘Shang Ri La’ kerana menyajikan pemandangan air terjun bertingkat selain kolam biru kehijauan.

Semestinya buat kaki terjun tiruk, biarpun perjalanan perlu ditempuh termasuk trek sejauh lebih tiga kilometer menelan masa dua jam perjalanan sebelum sampai ke ‘base camp’ tingkat 20, ia nyata pengalaman berbaloi untuk kenangan sepanjang hayat.

UJI kemampuan diri anda dengan mendaki.
UJI kemampuan diri anda dengan mendaki.

Jalan menuju ke tapak perkhemahan Taman Eko Rimba Jerangkang juga bukan laluan yang biasa kerana hanya kenderaan spesifikasi pacuan empat roda menjanjikan perjalanan lancar menempuh trek tanah merah dan berlubang dalam.

Secara peribadi, untuk sampai ke tapak perkhemahan peserta ekspedisi ROH Jerangkang ini, boleh dikatakan peritnya menempuh trek mencanak hampir beberapa kali ‘putus nafas.’

Saranan buat anda yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti lasak, membuat persiapan rapi bagi mengelak risiko kecederaan selain memastikan stamina konsisten sepanjang perjalanan adalah sangat penting.

Ia berbaloi dengan pemandangan di depan mata kolam luas dengan air terjun tiga tingkat selain dikelilingi hutan yang menghilangkan kepenatan selepas penat berhempas-pulas untuk sampai ke destinasi itu.

TENANG menikmati alam semula jadi.
TENANG menikmati alam semula jadi.

Menurut jurupandu rekreasi atau ‘Gogo’ Jerangkang kali ini Haslizam Hashim, peserta ekspedisi berkenaan adalah kumpulan pertama dibawa masuk ke hutan eko Jerangkang pada tahun ini.

Katanya, antara keistimewaan hutan berkenaan semestinya air terjun bertingkat dan puluhan kolam air jernih dan dalam buat peminat aktiviti air.

“Berdasarkan rekod Jabatan Hutan Pahang, terdapat 39 tingkat air terjun yang terdapat dalam hutan ini. Secara tidak langsung, lokasi untuk berkhemah dan bermalam dalam hutan juga banyak serta tiada isu berebut tempat atau sebagainya.

“Namun sebelum masuk dan menjengah destinasi ini, perlu dapat­kan dahulu permit dari Jabatan Hutan mengikut aktiviti dijalankan.

PERLU menggunakan pacuan empat roda untuk melalui jalan trek denai.
PERLU menggunakan pacuan empat roda untuk melalui jalan trek denai.

“Untuk kumpulan kami iaitu 27 orang termasuk empat kru, kami mendaftar atas permit mendaki dengan kadar RM10 seorang. Ini membolehkan kita mendaki dan bermalam di hutan berkenaan,” katanya turut dibantu tiga kru lain iaitu Kapten (B) Ahmad Azuan Osman, Hasnul Husairi Baharum dan Brad Harnain Shafiai.

Berkenaan tarikan lain terdapat di lokasi air terjun ini, kata Haslizan, jika bernasib baik pengunjung akan ‘bertembung’ hidupan liar yang menghuni hutan terbabit.

“Antaranya kancil, napoh dan kalau bertuah boleh bertemu kambing gunung. Ketika ini untuk air terjun tiada aktiviti memancing dilakukan sebaliknya rutin saya bersama rakan ekspedisi lebih kepada merakam panorama dan pemandangan indah dari puncaknya,” katanya.

PEMANDANGAN berlatarkan air terjun.
PEMANDANGAN berlatarkan air terjun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 1:03 PM