ALIF ketika menamatkan  Ironman Langkawi 2019 yang diadakan di Pantai Cenang, pagi tadi. FOTO/ ALIF SATAR
ALIF ketika menamatkan Ironman Langkawi 2019 yang diadakan di Pantai Cenang, pagi tadi. FOTO/ ALIF SATAR
Ardini Sophia Sina


PELAKON, penyanyi dan pengacara Alif Satar, 29, meluahkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan cabaran Ironman Langkawi 2019 yang diadakan di Pantai Cenang, pagi tadi.

Alif atau Muhamad Alif Mohd Satar menerusi Instagram berkata, penyertaan dalam acara membabitkan tiga aktiviti iaitu berenang, berbasikal dan berlari adalah perkara 'gila' yang pernah dilakukannya.

"Ia sangat menakjubkan. Saya sudah tidak sabar untuk berkongsi cerita dengan anda semua. Ini mungkin perkara paling gila saya pernah buat.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi semua cabaran dengan catatan masa 15 jam lima minit dan 49 saat," tulisnya di Instagram.

Menerusi cabaran itu, tiga aktiviti yang harus dilakukan termasuklah berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42km.

Dalam pada itu, Alif turut berterima kasih atas sorakan sokongan peminat yang hadir di acara itu.

"Terima kasih semua datang memberikan sokongan dan semangat sepanjang Pantai Cenang.

"Saya minta maaf kalau sorakan anda semua tidak berbalas. Keadaan mental saya tidak berada dalam keadaan baik ketika itu," katanya.

Sebelum ini, Alif pernah menyertai cabaran sama pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 5:30 PM