IMEJ satelit menunjukkan pos tentera AS di Rukban, daerah Rwaished, Jordan. FOTO Planet Labs PBC/ Reuters
IMEJ satelit menunjukkan pos tentera AS di Rukban, daerah Rwaished, Jordan. FOTO Planet Labs PBC/ Reuters
BERNAMA

Amman: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyalahkan kumpulan bersenjata yang disokong Iran atas kematian tiga tentera negara itu dalam serangan dron di timur laut Jordan, berhampiran sempadan Syria pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Biden menyifatkan serangan itu sebagai keji dan tidak adil serta berikrar untuk menghukum pihak bertanggungjawab.

Sementara itu di Baghdad, Xinhua melaporkan, kumpulan bersenjata Syiah Iraq mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan dron ke atas tiga pangkalan AS di Syria dan kemudahan tentera laut di Israel.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, pejuangnya melancarkan dron sarat bahan letupan di tiga pangkalan tentera AS di Syria, termasuk pangkalan al-Shaddadi, pangkalan al-Tanf dan kem tentera Rukban berhampiran sempadan Syria dengan Iraq dan Jordan.

Dron keempat pula menyasarkan kemudahan tentera laut Zevulun berhampiran bandar pelabuhan Haifa di Israel.

Menurut kumpulan itu, serangan berkenaan adalah sebahagian daripada siri tindak balas terhadap tentera AS di tengah-tengah konflik Israel-Hamas yang berterusan di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Jordan Muhannad Mubaidin pada Ahad mengesahkan kepada stesen televisyen Al Mamlaka bahawa serangan itu menyasarkan pangkalan al-Tanf di tenggara Syria, dan menegaskan tiada serangan yang menyasarkan tentera AS berlaku di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 2:46 PM