MAYAT mangsaditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan penduduk kampung. FOTO ihsan Bomba
MAYAT mangsaditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan penduduk kampung. FOTO ihsan Bomba
Roselan Ab Malek


Maran: Bayi berusia 20 bulan yang hilang di Sungai Jempol, Felda Jengka 4, di sini, semalam, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Bomba Zon 2, Mohd Sobree Mohd Salleh berkata, mayat mangsa, Muhammad Abdullah Saiful Bahari ditemukan pada jam 10.37 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan penduduk kampung kira-kira satu kilometer (km) dari tempat mangsa dipercayai hilang.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sobree berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 4.47 petang, semalam, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

SAR disertai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka dibantu oleh tujuh anggota dari PPDA Bukit Angin, Temerloh empat anggota K9 bersama dua anjing pengesan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman dilaporkan berkata, Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta pada 1 tengah hari, iaitu kira-kira 15 minit selepas bapanya meninggalkan dia berseorangan di situ.

"Bapa mangsa (Muhammad Abdullah) mendakwa meninggalkan mangsa di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka.

"Sebaik menyedari mangsa tiada, bapa mangsa telah bertanya kepada kakak dan abang mangsa yang berusia enam serta lapan tahun, namun mereka juga tidak menyedari bila mangsa berjalan keluar dari kereta," katanya dipetik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:06 PM