GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Dua anggota polis lelaki yang menjalankan operasi samseng jalanan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Silk arah Kajang ke Putrajaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian 1.30 pagi itu berlaku apabila seorang anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berpangkat Sarjan menunggang motosikal dari arah Kajang ke Putrajaya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian beliau bertembung dengan motosikal ditunggang anggota polis dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D4 IPD Kajang berpangkat Konstabel.

"Kedua-dua mangsa adalah anggota dari IPD Kajang yang sedang bersama-sama melakukan tugas Operasi Samseng Jalanan.

"Ketika kejadian mangsa sedang mengejar suspek lumba haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata,lokasi kejadian adalah laluan yang sering digunakan oleh samseng jalanan untuk berlumba.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 11:38 AM