BIL Musa bijak menghiburkan penonton. FOTO Khairul Azhar Ahmad
BIL Musa bijak menghiburkan penonton. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Georgie Joseph

Kian dikenali di persada seni tanah aiar, bakat Bil Musa cukup meyakinkan. Meskipun namanya tidak sehebat pendatang baru lain, potensi penyanyi itu bersinar sangat besar.

Bil, 25, bukanlah nama yang asing terutama dalam kalangan pencinta muzik urban tempatan. Bahkan, penyanyi yang bernaung di bawah label Yuna Room Records itu sudah memiliki pengikut tersendiri.

Aura penghibur anak muda ini dapat disaksikan setiap kali dia beraksi di atas pentas. Terbaru, lebih 300 penonton terhibur sewaktu Bil Musa menjayakan showcase solonya, Bil Musa Change of Colour baru-baru ini.

“Sebenarnya saya sangat gementar namun sokongan kalian membuatkan saya rasa tenang dan akan pastikan kalian terhibur,” katanya.

Bagi sesiapa yang tidak mengikuti muziknya selama ini, tidak susah untuk jatuh cinta dengan lagu-lagunya. Bil Musa sangat mementingkan kualiti lagu dan lirik.

Paling menarik muziknya ada suntikan nuansa antarabangsa terutama lagu Inggeris, ia ada potensi untuk pergi jauh dan diterima di pasaran global.

Tidak ketinggalan, vokalnya turut menunjukkan kematangan yang ketara. Ia kedengaran unik tanpa ada bayangan suara mana-mana penyanyi lain.

Begitu juga dengan kemahirannya berinteraksi di atas pentas, Bil Musa tidak canggung dan tampak sangat santai.

BIL Musa. FOTO Khairul Azhar Ahmad
BIL Musa. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Tidak hairanlah, namanya sentiasa menjadi pilihan pelbagai acara atau festival muzikal meski belum cukup terkenal di arus perdana.

Semestinya kualiti yang ditonjolkan dalam muzik serta caranya menghibur menjadi kekuatan utama Bil Musa. Bukan sekadar menyanyi kosong, penyanyi itu bahkan bijak menyalurkan emosinya setara dengan maksud lirik lagu.

Biarpun baru, Bil Musa wajar dipuji apabila menyentuh soal kemampuan menghiburkan pendengar malah punya pakej lengkap. Dia tidak syok sendiri dan sentiasa memastikan bersatu dengan band yang mengiringi persembahannya dengan sempurna.

Dalam showcase berkenaan, Bil Musa mempersembahkan rangkaian lagu popularnya termasuk Owe It All To You, Sejarah, Nineteen, Elvis Presley, I Wanna Dance, The Beach, Lay It Down, Adakah Ini, 4AM dan No More Excuses.

Bukan sekadar menyanyi, dia turut menunjukkan kemampuannya bermain piano menerusi persembahan lagu Cool nyanyian asal Gwen Stefani. Tidak ketinggalan, dia berjaya memukau peminat menerusi lagu baru yang belum diberikan judul.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 11:28 AM