BEASLEY (kanan) optimis Azizul mampu cipta kejutan di Olimpik Tokyo.
BEASLEY (kanan) optimis Azizul mampu cipta kejutan di Olimpik Tokyo.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Tiada siapa yang mahu memenangi pingat emas di Tokyo lebih daripada Azizul (Azizulhasni Awang)."

Demikian pengakuan jurulatih Azizul, John Beasley mengenai keinginan tinggi jaguh berbasikal negara itu untuk memburu emas pertama yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia di Olimpik.

Beasley bagaimanapun bimbang dengan tekanan berterusan diberikan kepada The Pocket Rocketman yang selama ini sememangnya bekerja keras, berdedikasi dan berkorban demi untuk negara.

"Saya sudah melatih banyak juara dunia dan pemenang pingat di Olimpik sebelum menjadi jurulatih Malaysia. Saya tidak pernah nampak mana-mana atlet bekerja keras seperti Azizul.

"Sebab itulah saya sangat suka dengannya. Dia sentiasa memberikan segala-galanya tidak kira ketika menang, kalah atau seri. Dia pernah berlumba dengan pesaing yang 30 kilogram lebih berat daripadanya. Malah, dia adalah atlet pecut paling kecil di dunia.

"Tolonglah beri sokongan kepadanya. Biar dia berasakan sokongan daripada rakyat Malaysia. Dia mencuba sedaya upaya untuk memberikan sesuatu kepada anda," katanya.

Beasley mendedahkan Azizul atau turut dikenali sebagai Jijoe sememangnya memahami impian seluruh rakyat Malaysia itu, namun beliau berharap anak didiknya itu tidak terus diberikan tekanan.

"Satu perkara yang perlu anda tahu mengenai Azizul ialah dia seorang pahlawan yang memberikan segala-galanya apabila mewakili Malaysia. Lebih banyak anda bercakap mengenai prospek emas, anda meletakkan atlet itu ke laluan kegagalan.

"Kegagalan adalah seseorang yang tidak memberikan segala-galanya dan itu bukanlah Azizul," katanya.

Pada temasya 2016 di Rio, Azizul melakar sejarah apabila memenangi pingat gangsa dan setahun selepas itu, dia muncul juara dunia menerusi acara keirin.

Untuk edisi di Tokyo, dengan ketiadaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang sudah bersara, Azizul dilihat sandaran terbaik meraih kilauan emas pertama negara di Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 6:35 AM