FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: "Berat badan saya turun 33 kilogram (kg) daripada berat asal 111kg selepas menjalani pembedahan sleeve gastrectomy pada Januari tahun lalu," kata S Kavitha.

Kavitha, 39, melakukan pembedahan itu berikutan masalah berat badan berlebihan dialaminya sejak remaja.

Pembedahan sleeve gastrectomy ialah dengan mengecilkan perut pesakit supaya kuantiti makanan masuk ke dalam perut sedikit dan bahagian perut yang mengeluarkan hormon ghrelin (hormon merangsang selera makan) dibuang.

Selepas pembedahan, pesakit mengalami sekatan kalori, kurang rasa lapar dan cepat kenyang.

Katanya, tujuan utama dia melakukan pembedahan itu kerana mahu mengatasi masalah hormon yang menyebabkan kitaran haidnya menjadi tidak teratur.

"Sebelum ini, saya bergantung lama kepada ubat hormon. Jika tidak ambil ubat hormon, kitaran haid menjadi tidak teratur.

"Disebabkan itu, saya alami sindrom ovari polistik (PCOS).

"Sindrom ini mengakibatkan kulit wajah mudah ditumbuhi jerawat dan ia menambah tekanan kepada saya," katanya.

Menurut Kavitha, berat badan berlebihan menyebabkan dia mengalami masalah kesuburan.

"Saya menimang anak pertama selepas 10 tahun berkahwin. Ia juga selepas saya menjalani rawatan kesuburan di sebuah hospital.

"Namun selepas melahirkan anak masalah haid tidak teratur berulang.

"Saya tidak mahu bergantung kepada ubat hormon yang menjadi penyumbang sukar menurunkan berat badan selain faktor genetik," katanya.

Menurut Kavitha yang berketinggian 168 sentimeter, berat badannya kini 78kg dan dia perlu menurunkan lapan kilogram lagi bagi mencapai indeks jisim tubuh (BMI) ideal.

"Sudah lama saya mengetahui mengenai pembedahan sleeve gastrectomy, tetapi tidak berani mahu mencubanya.

"Apabila bersedia, barulah saya berjumpa dengan pakar bariatrik dan metabolik untuk menjalani pembedahan ini," katanya.

Kakitangan awam itu berkata, pada mulanya, suami Binish Gopal Sanku Gopalan, 45, ragu-ragu untuk memberikan keizinan baginya menjalani pembedahan itu.

"Suami bimbang sekiranya pembedahan ini gagal seterusnya menimbulkan masalah lain.

"Namun kejayaan abang kandung saya yang lebih awal menjalani pembedahan itu menambah keyakinan kepada suami membenarkan saya menjalani prosedur ini," katanya.

Kavitha berkata, selain menjaga pemakanan, dia melakukan aktiviti fizikal secara rutin seperti berjalan kaki laju bagi mengekalkan stamina dan mengawal berat badan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 7:01 AM