ANNAMAH bersama sijil pengiktirafan rekod wanita tertua di negara ini, pada majlis hari jadinya, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
ANNAMAH bersama sijil pengiktirafan rekod wanita tertua di negara ini, pada majlis hari jadinya, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Berpuasa sekali seminggu dan mengamalkan pemakanan sihat dengan mengambil herba antara petua diamalkan seorang nenek berusia 110 tahun hingga berupaya mempertahankan rekod sebagai wanita tertua di negara ini.

Pengiktirafan itu disahkan Malaysia Book of Records (MBOR) dan A Annamah mengamalkan petua itu sejak muda hingga kini untuk menjaga kesihatannya.

Malah, ingatan wanita dilahirkan pada 31 Mac 1911 itu masih kuat apabila mampu mengecam individu pernah mendapat khidmatnya ketika dia menjadi bidan, suatu ketika dahulu.

Anak lelaki kepada wanita itu, M Subramaniam, 73, berkata ketika muda, ibunya sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan memakan herba selain berpuasa seminggu sekali.

"Ibu seorang yang cergas apabila dia tidak pernah duduk diam semasa kami tinggal di estet dulu.

"Bayangkan setiap kali balik dari kerja dia boleh buat lagi kerja lain antaranya menanam sayur, bela ayam dan pelbagai lagi," katanya selepas menyambut ulang tahun ke-110 ibunya di Jalan Raja Uda, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, MBOR yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong turut menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Annamah kerana berjaya mempertahankan rekod sebagai wanita tertua di Malaysia sejak tahun lalu.

Subramaniam berkata, ibunya dilahirkan dan dibesarkan di India sebelum berhijrah ke Malaysia bersama keluarga ketika remaja.

Mengulas lanjut mengenai tahap kesihatan ibunya, Subramaniam berkata, ingatan ibunya masih kuat, namun tahap pendengaran serta penglihatan wanita itu semakin berkurangan.

"Ibu masih boleh ingat (mengecam) sesiapa yang pernah mendapat perkhidmatannya dahulu ketika dia menjadi bidan, tetapi kudratnya kini sudah tidak seperti lima ke enam tahun lalu.

"Pada ketika itu dia masih boleh berjalan sendiri selain boleh buat macam-macam kerja rumah tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dia lebih banyak duduk di atas kerusi roda sahaja," katanya.

Annamah mempunyai lima anak, 17 cucu serta tujuh cicit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 9:27 PM