GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bermula esok, mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan hukuman penjara.

Ia diperuntukkan di dalam Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No 2) 2021 Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan hari ini.

Antara lain, ia menyatakan mana-mana orang melalui apa-apa cara dengan niat menyebabkan ketakutan dan kebimbangan orang awam atau kepada mana-mana golongan orang awam, menyebarkan apa-apa berita tidak benar boleh didenda melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, jika kesalahan itu dilakukan berterusan, denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Turut dinyatakan di dalam warta itu, mana-mana individu yang tidak melaksanakan kewajipan untuk menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

Jika berterusan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Warta itu turut menyebut, mahkamah boleh mengarahkan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa untuk mengambil langkah menghapuskan penerbitan itu.

Selain itu, turut dinyatakan tiap-tiap kesalahan di bawah ordinan ini adalah kesalahan boleh tangkap.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 9:44 PM