GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sebuah syarikat pemprosesan kertas dan pencetakan didenda RM5,000 kerana tidak mematuhi Notis Menghapus Bahaya Kebakaran mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hafizi Akbar Mohd Radzi berkata, hukuman denda itu dijatuhkan terhadap syarikat berkenaan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam bagi dua pertuduhan.

Katanya, syarikat terbabit didenda RM2,500 bagi setiap pertuduhan berserta denda tambahan RM100 sehari selepas sabitan sehingga notis dipatuhi dan jika gagal membayar boleh dihukum penjara tambahan sebulan.

"Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat itu mengaku gagal mematuhi notis berkenaan berkaitan barangan di dalam kilang terbabit mengikut Seksyen 10 Akta 341.

"Jika disabitkan seksyen itu memperuntukkan hukuman didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan denda tambahan sebanyak RM100 bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebuah syarikat pemborong perkakasan rumah turut didenda RM2,500 atau sebulan penjara jika gagal membayar atas kesalahan sama berserta denda tambahan RM100 sehari sehingga notis dipatuhi selepas sabitan.

"Kedua-dua syarikat membayar denda berkenaan dan kes selesai," katanya.

Beliau berkata, pendakwaan kes dilakukan Penolong Kanan Penguasa Bomba Zahrul Azha Moktar dan Penguasa Bomba Mohd Yan Tangung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 8:37 PM