PEMANDANGAN dari udara menunjukkan Pulau Wilhelmstein. FOTO Agensi
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan Pulau Wilhelmstein. FOTO Agensi
Agensi

Berlin: Keindahan Pulau Wilhelmstein di Tasik Steinhude, Wunstorf, Jerman menjadikannya kawasan yang sempurna untuk mengasingkan diri semasa pandemik Covid-19.

Oddity Central melaporkan, hanya dalam beberapa dekad, pulau buatan itu menjadi destinasi popular bagi pengunjung dari seluruh Jerman.

Mereka yang datang berpeluang mengunjungi kubu lama yang berubah menjadi muzium, menjelajah pulau, atau hanya menikmati pemandangan yang indah.

Namun, ada penginapan disediakan untuk mereka yang berhasrat bermalam lebih satu hari di sana.

Difahamkan, perkahwinan pertama diadakan di Pulau Wilhemstein pada tahun 1900 dan ketika itu, lokasi itu menjadi amat popular.

Mengimbas sejarahnya, kisah Pulau Wilhelmstein bermula pada 1761, ketika Count Wilhelm von Schaumburg-Lippe, ketua daerah Schaumburg-Lippe-Buckeburg dan seorang komander tentera yang penting dalam Perang Tujuh Tahun, memerintahkan pembinaan kubu ketenteraan di tengah Steinhude Meer iaitu tasik terbesar di utara Jerman.

Kompleks pertahanan tentera pada asalnya terdiri daripada 16 pulau yang dibina di atas dasar batu besar yang diangkut ke tengah tasik oleh nelayan tempatan di dalam kapal mereka.

Kubu berbentuk bintang dibina di tengah pulau utama kemudian dijadikan sebuah kolej tentera dirancang untuk melatih pemimpin generasi berikutnya.

Sebagai kubu, Pulau Wilhelmstein hanya diuji sekali saja iaitu pada tahun 1787 sewaktu Pengepungan Hessian.

Selepas kematian Wilhelm dan penempatan semula sekolah tentera ke daratan, kubu pulau itu diubah menjadi penjara.

Pada awal abad ke-19, semua 16 pulau itu digabungkan menjadi satu pulau berbentuk segi empat tepat.

Menjelang tahun 1867, semua tahanan dipindahkan ke penjara lain dan itu titik permulaan kebangkitan Pulau Wilhelmstein sebagai daya tarikan pelancongan.

Walaupun keturunan Count Wilhelm von Schaumburg-Lippe menjual Tasik Steinhude kepada daerah Hannover pada tahun 1974, Pulau Wilhelmstein tetap menjadi milik keluarga Schaumburg-Lippe.

Kini, Pulau Wilhelmstein ini ditadbir oleh pengamal undang-undang dari mahkamah di Buckeburg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 8:46 AM