PERMINTAAN terhadap peranti elektronik meningkat susulan pelaksanaan PdPR.
PERMINTAAN terhadap peranti elektronik meningkat susulan pelaksanaan PdPR.
Oleh Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merancang menetapkan satu model khas gajet seperti komputer riba atau tablet yang menepati spesifikasi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) pada harga minimum.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bagi mengatasi isu harga dan bekalan peranti elektronik serta mengurangkan bebanan ibu bapa bagi menyediakan keperluan terbabit untuk anak mereka.

"Cadangan ini masih di peringkat perbincangan antara KPDNHEP dengan pemain industri.

"Kita dijadual mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pemain industri minggu ini bagi meneliti cadangan dan memperhalusi pelaksanaannya," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, cadangan itu bertujuan memudahkan ibu bapa mendapatkan keperluan komputer riba atau tablet yang sesuai untuk anak mereka pada harga berpatutan.

Ditanya jika ada peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga peranti elektronik, Rosol berkata, kelengkapan elektronik dan telekomunikasi bukan barang kawalan dan tidak tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDNHEP tiada kuasa meletak harga kawalan atau harga siling untuk mengawal harga jualan barangan ini.

"Namun kita ambil maklum peningkatan permintaan terhadap keperluan kelengkapan elektronik dan komunikasi untuk pelajar sekolah dalam pelaksanaan PdPR," katanya.

Beliau berkata, sebagai kementerian bertanggungjawab menjaga kepentingan pengguna dan memerangi peniaga yang cuba mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan mudah, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP melancarkan Op Catut 8.0 khusus untuk kelengkapan elektronik dan komunikasi bermula 25 Januari dan berakhir 7 Februari lalu.

"Hasilnya tujuh aduan diterima membabitkan harga mahal komputer riba dan komputer iaitu empat masih dalam siasatan, dua lagi dirujuk ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan satu kes selesai siasatan setakat 5 Februari lalu.

"Selain itu, aduan harga mahal membabitkan dua mesin pencetak dan tiga dakwat pencetak dilaporkan," katanya.

Menurutnya, Op Catut 8.0 bertujuan mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya menerusi pemantauan maklumat harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon pintar yang mempunyai permintaan tinggi.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan Op Catut 8.0, 343 peniaga menjual kelengkapan elektronik dan telekomunikasi seluruh negara diperiksa membabitkan 651 barangan.

"Seramai 341 peniaga diberi Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan maklumat harga dan kos belian barangan dan mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan," katanya.

Rosol berkata, selain itu, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP masih dalam proses menganalisis siasatan dan jika peniaga dibuktikan menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi perundangan ditetapkan, tindakan lanjut boleh diambil mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011 atas kesalahan mencatut dan peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan dan sekiranya bukan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ditanya dakwaan mengatakan segelintir peniaga menyorok bekalan untuk main harga, Rosol berkata, ketika permintaan terlalu tinggi manakala bekalan terhad, ia dipercayai menyebabkan berlaku masalah kekurangan bekalan.

"Berdasarkan teori ekonomi, semakin tinggi permintaan sesuatu barangan ketika bekalannya terhad, maka harganya meningkat.

"Malah, kita tidak terima aduan kemungkinan berlaku perbuatan disyaki menyorok bekalan oleh peniaga dan enggan menjualnya," katanya.

Menurutnya, ia mungkin tidak munasabah kerana putaran model peranti elektronik dan gajet agak cepat dengan yang paling singkat hanya sekitar tiga bulan sebelum model baharu dikeluarkan.

"Dalam ekonomi mencabar dengan pandemik Covid-19, peniaga sudah pasti mahu habiskan bekalan yang ada, jadi dakwaan peniaga sorok bekalan mungkin tidak tepat," katanya.

Rosol Wahid.
Rosol Wahid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 8:00 AM