DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 13 kes hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,897 kes.

Satu kematian turut direkodkan pada hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini adalah seramai 124 individu akibat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan seorang warga negara Malaysia dan dua bukan warga negara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

Beliau berkata, enam kes import itu membabitkan individu yang pulang dari Pakistan (satu kes); Kazakhstan (satu kes) dan Indonesia (satu kes di Kelantan).

Dalam pada itu, katanya, daripada 10 kes penularan tempatan di dalam negara, sembilan kes adalah dalam kalangan warga Malaysia manakala satu kes dalam kalangan bukan warga negara.

"Kes jangkitan dalam kalangan bukan warga negara membabitkan satu kes daripada Kluster Bukit Tiram.

"Perincian kes penularan Covid-19 dalam kalangan warga Malaysia (sembilan kes) pula membabitkan enam kes daripada Kluster Bukit Tiram; satu kes daripada saringan pra-prosedur di Pahang; satu kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-8662 di Sabah dan satu kes daripada Kluster Sentosa, Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana satu satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

"Kes kematian ke-124 (kes ke-8,743) adalah wanita warga negara Malaysia berusia 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia. "Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai lalu dan mendapat rawatan pada 9 Julai.

"Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut, ujian Covid-19 didapati positif. Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin

tenat. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai jam 12.04 pagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 5:17 PM