GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Shamran Sarahan dan Nurul Hidayah Bahaudin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga lagi kluster baharu hari ini menjadikan keseluruhan 18 kluster dikesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan 10 Jun lalu.

Lapan belas kluster itu tidak termasuk empat lagi kluster yang sedia ada sebelum PKPP dilaksanakan, menjadikan keseluruhan kluster akibat penularan wabak itu dalam negara ketika ini adalah 22 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster baharu itu adalah Kluster Elsa, Kluster PUI Ramnad dan Kluster PUI Al Khobar.

Beliau berkata, kes indeks bagi Kluster Elsa adalah seorang bukan warganegara membabitkan kes ke-8,839, seorang kru kapal yang mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea.

Katanya, individu itu masuk ke Malaysia pada 16 Julai lalu untuk mula bekerja dan saringan Covid-19 di Filipina pada 14 Julai lalu dilaporkan negatif sebelum dia menaiki kapal terbang ke Kuantan, Pahang.

"Beliau bermalam di sebuah hotel di Kuantan sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal selepas mendapat kelulusan Jabatan Laut.

"Individu terbabit mula mengalami gejala lima hari kemudian iaitu pada 20 Julai lalu (Isnin lalu) dan dikesan positif pada 22 Julai lalu (Rabu lalu) dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

"Setakat ini, seramai 108 individu disaring dengan tiga dikesan positif membabitkan dua bukan warganegara dan seorang warga Malaysia, manakala 48 lagi negatif dan 57 masih menunggu keputusan," katanya mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster PUI Ramnad, kes indeks kluster itu adalah membabitkan seorang warga tempatan yang pulang dari India pada 6 Julai lalu iaitu kes ke-8,817.

Katanya, saringan terhadap individu ini dilakukan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif Covid-19 dan dia menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebelum mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai lalu (Ahad lalu).

"Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Susulan itu, seramai 18 individu yang terdiri daripada enam ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat disaring setakat ini.

"Daripada jumlah itu, dua individu dikesan positif ahli keluarga kes indeks manakala 13 lagi negatif dan tiga masih menunggu keputusan," katanya.

Mengenai Kluster PUI Al Khobar, beliau berkata, ia kes indeks membabitkan seorang warga tempatan yang pulang dari Arab Saudi pada 10 Julai lalu iaitu kes ke-8,803.

Katanya, saringan dilakukan di pintu masuk KLIA mendapati individu itu negatif Covid-19 dan menjalani HSO bersama lima ahli keluarga di rumah keluarga mereka yang juga pulang dari negara berkenaan dengan menaiki pesawat sama.

"Rumah keluarga itu turut didiami dua ahli keluarga yang lain. Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai lalu dan dikesan positif Covid-19 pada 20 Julai lalu.

"Susulan itu, tujuh ahli keluarganya disaring dengan seorang daripadanya dikesan positif, manakala enam lagi negatif," katanya.

Katanya, siasatan dan saringan kontak rapat sedang diteruskan termasuk saringan penumpang lain pesawat yang dinaiki kes indeks kluster terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:25 PM