GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Saipul Adli Mohamad dan Nurul Hidayah Bahaudin


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua lagi kluster baharu Covid-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster dikenal pasti itu adalah Kluster Hyde Park dan Kluster PUI Melbourne.

Beliau berkata, Kluster Hyde Park dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor dengan kes indeks kluster itu adalah kes ke-8769.

"Individu berkenaan adalah kru kapal dari Rusia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir dan India.

"Kluster ini dikenal pasti susulan saringan Covid-19 yang dijalani kru kapal itu sebelum pulang ke negara asal," katanya dalam kenyataan media Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari, hari ini 24 individu sudah disaring dengan empat daripada mereka didapati positif Covid-19, manakala selebihnya negatif.

Beliau berkata, semua kes positif dalam kluster itu membabitkan individu bukan warganegara yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala semua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di kapal itu.

"Sehubungan itu, kluster berkenaan tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana ia kluster import yang terpencil di sebuah kapal.

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sudah dijalankan di kapal itu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks Kluster PUI Melbourne pula membabitkan seorang penuntut tempatan iaitu kes ke-8749 yang pulang dari Australia pada 15 Julai lalu.

Beliau berkata, penuntut itu menaiki dua pesawat iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudian dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak.

"Apabila sampai di pintu masuk di Kuching, beliau dibawa ke pusat kuarantin selepas saringan Covid-19 didapati positif pada 17 Julai lalu.

"Individu terbabit tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan siasatan serta aktiviti pengesanan kes secara aktif dijalankan dan satu lagi kes positif dikesan dalam kluster ini.

"Kes kedua turut menaiki pesawat sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching," katanya.

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari, hari ini terdapat dua kes positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

Menurutnya, seramai 21 kontak rapat terdiri daripada penumpang pesawat dan kenderaan awam berkaitan sudah disaring dan masih menunggu keputusan, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:50 PM