ROSOL WAHID
ROSOL WAHID
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Satu pengkhianatan kepada negara. Demikian tegas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengenai ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan berjadual seperti gula, minyak masak serta tepung (GMT) di Kelantan ke Thailand.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti dalang tanpa mengira sama ada individu berkenaan berpengaruh atau sebaliknya.

Menurutnya, tindakan berkenaan menyebabkan kerugian hasil negara sebanyak RM600,000 sebulan atau RM7.2 juta setahun membabitkan minyak masak seperti dilaporkan Harian Metro adalah kes serius, sekali gus perlu ditangani dengan kadar segera.

"Isu yang dilaporkan Harian Metro ini iaitu barangan harian yang diseludup ke Thailand apabila aktiviti berkenaan dikendalikan secara sistematik dan tersusun individu digelar Big Boss amat kita kesali.

"Saya ingin tegaskan walau siapa pun orang itu, ada kedudukan, berpengaruh atau kaya, kita akan siasat kerana ini memberi kesan keseluruhan kepada negara," katanya kepada Harian Metro.

Rosol berkata, beliau percaya Bahagian Penguat Kuasa kementeriannya sudah menjalankan tugas dengan baik dan amanah untuk memastikan segala tanggungjawab diberikan dijalankan sebaik mungkin.

"Kita amat mengalu-alukan kerjasama dari segi maklumat orang ramai untuk tindakan," katanya.

Rosol mengulas laporan Harian Metro mengenai kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi Malaysia ke Thailand melalui Kelantan didalangi pesara kerajaan digelar Big Boss.

Ia susulan laporan eksklusif Skuad Khas Harian Metro yang mendedahkan lelaki itu dikatakan mengawal 10 pemborong minyak masak di Kelantan untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram Adam, pangkalan haram Pok Nuh dan melalui Jambatan Muhibah, Rantau Panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:35 AM