GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


TERTEKAN dengan penyakit misteri sehingga berat badannya mencecah 180 kilogram (kg) menyebabkan seorang wanita sering bertengkar dengan ahli keluarganya yang akhirnya dia bertindak membakar dirinya sendiri di sebuah rumah di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Nibong Tebal, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, wanita berusia 39 tahun berkenaan dikatakan bertengkar dengan adik perempuannya berusia 33 tahun di bilik utama rumah didiami mereka.

Disebabkan tidak tahan dengan kata-kata kasar yang dikeluarkan adiknya mengakibatkan wanita itu mengambil petrol yang terletak di belakang pintu bilik terbabit lalu menyimbahnya di seluruh anggota badannya sebelum dia menghidupkan pemetik api.

Pada masa sama, petrol berkenaan terkena adik perempuannya yang cuba membantu memadamkan api yang marak pada tubuh kakaknya namun dia pula disambar api hingga kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat melecur 100 peratus.

Kejadian turut menyebabkan pembantu rumah iaitu wanita Myanmar berusia 50 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia dua dan 12 tahun melecur ketika sama-sama membantu memadamkan api dan dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, polis mendapat laporan bahawa dua beradik wanita itu meninggal dunia pagi tadi selepas mereka berdua mendapatkan rawatan.

"Adik wanita itu meninggal dunia pada jam 5.34 pagi manakala wanita terbabit pula meninggal dunia pada jam 11.43 pagi.

"Siasatan yang dijalankan di rumah berkenaan mendapati terdapat lima penghuni ketika kejadian yang mana suami wanita terbabit keluar bekerja manakala suami adiknya pula sedang menjalani hukuman penjara.

"Tiga mangsa yang melecur kini dilaporkan stabil dan salah seorang sudah dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Chong Chern berkata, wanita itu dikatakan mempunyai penyakit kaki gajah hingga berat badannya mencecah 180 kg dan disebabkan itu dia selalu berada dalam keadaan kemurungan.

"Wanita berkenaan pernah mendapatkan rawatan ekoran penyakitnya di Chennai, India pada tiga tahun lalu namun tidak mendapatkan sebarang rawatan di hospital negara ini.

"Perkara ini menyebabkan dia sentiasa kemurungan dan selalu bercakap kasar dengan ahli keluarganya kerana tidak boleh menerima hakikat hingga dia bertindak di luar jangka," katanya.

Menurutnya, kes yang sebelum itu disiasat di bawah Seksyen 307/309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang semalam berhubung insiden kebakaran yang berlaku.

Insiden itu hanya memusnahkan 15 peratus bahagian bilik utama rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:17 PM