SKUAD kebangsaan bakal diuji oleh Bahrain di Manama pada 2 Oktober depan.
SKUAD kebangsaan bakal diuji oleh Bahrain di Manama pada 2 Oktober depan.
Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Impian untuk melihat skuad kebangsaan kembali beraksi di pentas Sukan Olimpik bukanlah cerita dongeng atau khayalan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut serius berusaha ke arah itu.

Dengan transformasi yang giat dilaksanakan termasuk membuka pintu buat pemain berdarah kacukan dan warisan, impian untuk melakar penampilan ketiga di temasya terbesar dunia itu selepas 1972 dan 1980, bukanlah omong-omong kosong.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, buat permulaan fokus badan induk itu adalah cuba layak secara merit dalam setiap kategori umur di setiap kejohanan peringkat Asia seperti Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 16 (B-16), B-19, B-23 dan skuad senior iaitu Piala Asia.

"Kita dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan. Sekarang pun rata-rata orang ramai dan penyokong pun dah nampak yang kita bergerak ke satu langkah ke depan.

"Imej bola sepak kebangsaan dah nampak berada pada landasan yang baik. Jadi kita fokus tingkatkan tahap permainan dan ketika ini sasaran kita mahu melepasi peringkat Asia dulu dan ini yang kita sedang usahakan.

"Kita harap bila kita dah sampai Asia itu, dah tentulah selepas itu Olimpik. Orang kata sasaran ke Olimpik itu ada cuma biarlah kita ambil langkah demi langkah supaya impian ke Olimpik bukan dongeng," katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, bekas pemain Harimau Malaya, Bakri Ibni yang pernah membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 menyarankan supaya FAM menghidupkan semula misi ke Olimpik.

Bagi Bakri, FAM perlu mempelbagaikan sasaran untuk pasukan kebangsaan terutama bagi skuad remaja dengan menyasarkan kembali saingan Sukan Olimpik di kala semakin ramai pemain muda berusia dari 15 hingga 19 tahun mula mengetuk pintu kelab dan akademi di luar negara.

"Dengan adanya pemain naturalisasi, tonggak warisan dan pemain tempatan serta usaha FAM yang sentiasa mengasah permainan mereka, saya kira kita boleh layak.

"Namun kita kena bersabar dan apabila sampai masanya kita boleh capai hasrat itu," kata Yusoff yang juga pengurus skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:35 AM